'Diakite ditengking Hai-O', jurulatih TFC perjelas insiden kekecohan Sang Penyu-KL City


  • Podium
  • Selasa, 08 Nov 2022

Diakite dinasihat supaya mengawal tingkah laku kerana apa-apa tindakan kurang bijak daripadanya hanya akan memakan diri. — Facebook / Terengganu FC

TERENGGANU FC (TFC) semakin hampir melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2022 apabila mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan, Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Ahad.

Naib juara Liga Super itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika perlawanan masih berbaki 30 minit selepas penjaga gol TFC, Suhaimi Husin dilayangkan kad merah kerana mengasari bintang KL City, Romel Morales.

Usai perlawanan, aksi antara kedua-dua pasukan dicemari dengan insiden kekecohan melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan.

Insiden tolak-menolak itu menunjukkan pemain pertahanan import TFC, Pape Diakite terpaksa dijauhkan daripada sekumpulan pemain KL City yang cuba menghampirinya.

Barisan jurulatih TFC termasuk Nafuzi Zain dan Hairuddin Omar selain jurulatih KL City FC, Bojan Hodak turut berada dalam kekecohan itu untuk meredakan keadaan.

Dalam rakaman tular di laman-laman Facebook penyokong, Hairuddin atau panggilan mesranya Hai-O turut kelihatan seolah-olah menengking Diakite yang sedang marah.

Situasi itu bagaimanapun dapat dikawal selepas kedua-dua kumpulan pemain dileraikan oleh pegawai pasukan masing-masing.

Menjelaskan kejadian itu, Hairuddin ketika dihubungi Majoriti memberitahu punca ketegangan berlaku antara Diakite dan barisan kejurulatihan KL City.

Jurulatih berusia 43 tahun itu memberitahu dia cuba meleraikan kekecohan dan menenangkan Diakite supaya mengawal emosi.

"Saya nasihat dia...be calm and cool. Punca tegang berlaku di antara Pape (Diakite) dan coaches pasukan KL.

"Saya nasihatkan dia supaya tak perlu nak emosi dan tak perlu keep fighting sebab game dah habis dan TFC dah menang," katanya kepada Majoriti pada Isnin.

Tambah Hairuddin, dia turut menasihatkan Diakite supaya mengawal tingkah laku kerana apa-apa tindakan kurang bijak daripadanya hanya akan memakan diri.

"Kami tak nak jika aksi tegang jadi bertambah buruk, sebab nanti pegawai pasukan bertugas atau pengadil masih boleh layangkan kad kuning atau kad merah kepada Diakite.

"Kalau perkara sedemikian perlaku, dia tidak dapat beraksi dan ini hanya akan merugikan pasukan," tambahnya lagi.

hai 0

Menurut Hairuddin, keadaan dapat dikawal selepas kedua-dua kumpulan pemain dileraikan oleh pegawai pasukan masing-masing dan diselesaikan cara baik.

"Semuanya terkawal...biasalah kadang-kadang berlaku sedikit ketegangan apabila game sengit. Semua dah selesai cara baik," katanya.

Kedua-dua pasukan akan bertemu satu sama lain dalam perlawanan timbal balik pada 12 November akan datang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram