Bukan hanya Syafiq Ahmad dan 5 pemain senior, Imigresen FC disebut jadi destinasi 3 bakat baharu Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 13 Jul 2025

Syafiq termasuk enam pemain berpengalaman yang menjadi buruan Imigresen FC. — Facebook/JDT 

PENDATANG baharu Liga Super, Imigresen FC, mencuri tumpuan lebih awal sebelum sepak mula musim 2025–2026 apabila dikaitkan dengan perekrutan enam pemain berprofil tinggi, termasuk beberapa bekas tonggak Harimau Malaya.

Menerusi hantaran yang dikongsikan pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di laman X, enam pemain terbabit ialah Syafiq Ahmad, Azam Azih, Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq, Fayadh Zulkifli dan Fazly Mazlan.

Difahamkan, kesemua pemain tersebut sudah mengadakan rundingan bersama kelab dan hanya menunggu proses dokumentasi diselesaikan sebelum perpindahan mereka dimuktamadkan.

BACA LAGI: Dollah Salleh kunci mulut, Zainal harap 'jodoh' bersama Imigresen FC berpanjangan

BACA LAGI: Jangan hanya fikir stadium, perlu ambil kira kemudahan lain sebelum Imigresen FC pilih ‘home ground’

Apa yang menarik perhatian ialah kesemua pemain terbabit pernah mewakili skuad kebangsaan, dengan empat daripadanya ialah Syafiq, Fadhli, Azrif dan Fazly pernah beraksi bersama kelab gergasi negara iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Langkah itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa Imigresen FC tidak sekadar mahu menjadi pelengkap jadual dalam saingan musim ini, sebaliknya tampil dengan kesungguhan untuk memberikan saingan kepada pasukan-pasukan elit tanah air.

Meskipun sehingga kini masih tiada pengumuman rasmi daripada pihak kelab mengenai kehadiran pemain-pemain baharu tersebut, timbul lagi khabar angin Imigresen FC mahu membawa masuk tiga tonggak muda.

Campuran enam pemain berpengalaman dan tiga ‘ubi muda’ yang dikaitkan dengan skuad Imigresen itu bakal menyaksikan kelab itu tampil sebagai ‘kuda hitam’ yang wajar diberi perhatian dalam kancah bola sepak negara.

1) Shivan Pillay

 

 

Pemain pertahanan tengah Perak FC, Shivan Pillay, dilaporkan antara nama yang berada dalam senarai skuad The Mighty Tigers selepas skuad Seladang tidak lagi beraksi dałam saingan Liga Super dek masalah kewangan melanda pasukan tersebut.

Pertahanan kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu menjadi tonggak utama di benteng pasukan kendalian Yusri Che Lah musim ini, dengan catatan 20 penampilan dalam saingan Liga Super serta lima aksi tambahan dalam Piala Malaysia dan satu Piala FA.

Konsistensinya menjadikan pemain berusia 24 than berkenaan antara pemain yang paling banyak diturunkan musim ini, sekali gus membuktikan keyakinan yang diberikan jurulatih terhadap kualiti dan disiplin permainannya.

Walaupun masih muda, Shivan dilihat memiliki potensi besar yang boleh digilap lagi, menjadikannya antara aset berharga dalam bola sepak tempatan. Sekiranya Perak tidak mengekalkan khidmatnya, tidak mustahil akan ada pasukan lain yang bersedia untuk mendapatkan tandatangannya.

Dengan pengalaman semakin matang dan kebolehan bertahan yang kukuh, Imigresen menjadi pasukan beruntung dengan mendapatkan khidmat Shivan menjaga bahagian belakang pasukan.

2) Azim Al-Amin

 

Penjaga gol muda Selangor FC, Azim Al-Amin, dilaporkan juga dilaporkan berada dalam senarai buruan Imigresen bagi musim hadapan dalam usaha mendapatkan lebih banyak minit permainan dan mengembangkan kariernya.

Pemain berusia 24 tahun berkenaan kini berdepan kesukaran menembusi kesebelasan utama Selangor berikutan persaingan sengit daripada dua penjaga gol berpengalaman, Kalamullah Al-Hafiz dan Samuel Somerville.

Situasi itu menyaksikan Azim sering dipinggirkan daripada skuad utama, sekali gus membataskan peluangnya untuk meraih pendedahan perlawanan kompetitif yang sangat penting dalam fasa perkembangan usia mudanya.

Sekali pun berpindah ke Imigresen secara pinjaman, ia dilihat sebagai langkah bijak yang boleh membuka lebih banyak ruang untuk Azim tampil sebagai penjaga gol utama, atau sekurang-kurangnya bersaing dalam suasana yang lebih terbuka berbanding terus kekal sebagai pemain simpanan bersama Selangor.

Sekiranya perpindahan itu direalisasikan, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain, malah Imigresen turut memperoleh aset jangka panjang yang berpotensi untuk digilap menjadi penjaga gol utama masa depan.

3) Azfar Fikri Azhar

Azfar Fikri antara pemain muda menyinar pada kempen 2024/2025. — Facebook/PerakFC

Pemain tengah Perak FC, Azfar Fikri Azhar semakin mendapat perhatian sebagai antara bintang muda meningkat naik sejak dia meninggalkan Terengganu dan menyertai skuad The Bos Gaurus pada awal musim 2024/2025.

Azfar Fikri yang juga tonggak skuad muda kebangsaan, merupakan antara pemain paling konsisten musim 2024/25 bersama The Bos Gaurus, dengan mencatatkan 27 penampilan dalam semua kejohanan selain menjaringkan tiga gol dan mencipta empat bantuan gol.

Keupayaannya untuk beraksi di beberapa posisi dengan bermain sebagai pemain tengah mahu pun sayap, menjadikan Azfar Fikri antara pemain serba boleh yang amat berharga untuk mana-mana pasukan yang mahukan kekuatan tambahan di bahagian tengah dan serangan.

Versatiliti, stamina dan ketenangannya mengendalikan bola dalam tekanan adalah antara ciri utama yang membuatkan pemain berusia 25 tahun berkenaan menjadi aset utama Perak musim ini.

Jika Imigresen berhasil mendapatkan khidmatnya, tidak mustahil Azfar Fikri akan sekali lagi menjadi bintang muda tumpuan dengan dia diyakini mampu memperkukuh jentera tengah mereka menjelang saingan musim baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram