MUSIM lepas, Terengganu FC merekodkan salah satu pencapaian terbaik dari segi pertahanan apabila mereka hanya dibolosi sebanyak 20 kali dalam 22 aksi Liga Super.
Berdasarkan statistik tersebut, hanya Johor Darul Takzim (JDT) yang memiliki rekod lebih cemerlang berbanding skuad Sang Penyu dengan hanya 12 gol berjaya dijaringkan pihak lawan.
Keutuhan benteng pertahanan Terengganu FC dikatakan berpunca daripada pendekatan taktikal bekas pengendali, Nafuzi Zain yang menitikberatkan pelbagai aspek penting di atas padang.
Namun, kecemerlangan figura di padang juga perlu diberikan kredit sepenuhnya, lebih-lebih lagi kepada pemain import dari Senegal, Pape Diakite.
Selepas dibawa masuk dari kelab Vietnam, Sai Gon FC, bek tengah itu tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri dalam kancah bola sepak tempatan.
Dalam 22 aksi liga musim lepas, pemain berusia 30 tahun itu hanya tidak diturunkan dalam tiga perlawanan, sekali gus membuktikan kepercayaan yang diberikan terhadapnya oleh barisan kejurulatihan.
Selain itu, Diakite difahamkan bijak menggunakan kelebihan fizikalnya untuk menjadi ancaman kepada pintu gol lawan, lebih-lebih lagi ketika sepakan penjuru dan percuma.
Bagaimanapun, meskipun dia sudah membuktikan nilainya bersama skuad Sang Penyu, pihak pengurusan memilih untuk tidak meneruskan kontraknya untuk tahun akan datang.
Keputusan itu dilihat cukup mengejutkan penyokong Terengganu FC apabila mereka berpendapat ketiadaan pemain tersebut akan menjejaskan rekod pertahanan cemerlang yang dicatatkan.
Tetapi, melihat kepada situasi jendela perpindahan kali ini, terdapat beberapa import yang mampu menggantikan Diakite di samping dapat mengubati kerinduan terhadap bek tengah itu.
Di samping melakukan pemerhatian terhadap sumbangan serta kebolehan bersama pasukan masing-masing, kelebihan dari segi fizikal juga menjadi faktor di sebalik pemilihan tiga pemain tersebut yang sesuai untuk menggantikan pertahanan kelahiran Senegal itu.
1. Marc Vales (KDA FC)
Selepas beraksi dengan baik bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, pertahanan kelahiran Andorra, Marc Vales berdepan nasib yang sama seperti Diakite.
Bagi majoriti penyokong Hijau Kuning, keputusan pihak pengurusan untuk tidak mengekalkan pemain tersebut adalah berpunca daripada kehadiran pengendali baharu, Nafuzi Zain.
Namun, di sebalik itu, terdapat juga beberapa pendapat yang mengatakan Vales tidak dapat memberikan persembahan konsisten setiap kali beraksi sehingga memaksa rakan sepasukan menanggung kelalaiannya.
Dalam saingan Liga Super 2022, pemain itu merupakan antara wajah penting buat skuad Sang Kenari apabila dia diturunkan sebanyak 15 kali dengan hanya dua daripadanya penampilan dari bangku simpanan.
Selain itu, kelantangan pertahanan antarabangsa itu juga berjaya mencuri perhatian bekas ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk memberikannya lilitan kapten pasukan.
Vales tidak akan lagi menyumbang khidmat bersama skuad Sang Kenari musim depan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Berdasarkan ciri-ciri itu, Vales dilihat sebagai salah seorang import terbaik dalam arena bola sepak tempatan, namun khidmatnya masih tidak ditagih mana-mana pasukan ketika ini.
Jadi, dengan Terengganu FC difahamkan mula merisik wajah baharu untuk memantapkan benteng pertahanan, Vales merupakan antara pilihan terbaik dari aspek persembahan.
Bagi kekuatan fizikalnya pula, dia yang berketinggian 1.84m juga difahamkan bijak untuk menyekat hantaran pihak lawan di samping menyukarkan larian pemain dengan tubuh lebih kecil.
Tidak cukup dengan itu, seperti Diakite, Vales turut handal ketika situasi sepakan penjuru apabila dia berjaya menjaringkan dua gol ketika aksi liga menerusi tandukan deras.
2. Carli De Murga (JDT)
Masihkah kita ingat bahawa Terengganu FC pernah dipimpin pemain berdarah kacukan Sepanyol-Filipina, Carli de Murga iaitu pada 2021 selepas dibawa masuk dari kelab Thailand.
Bagaimanapun, selepas menjadi tulang belakang kepada pasukan Pantai Timur itu, pihak pengurusan sekali lagi mengambil keputusan untuk tidak menawarkan kontrak lanjutan kepada pemain itu.
Hal itu dikatakan berpunca daripada usianya yang sudah mencecah 34 tahun pada awal tahun lalu, sekali gus memaksa pihak pengurusan untuk mendapatkan wajah baharu.
Namun, dengan skuad Sang Penyu dilihat perlu mendapatkan pertahanan baharu, De Murga boleh disifatkan sebagai pendekatan jangka masa pendek sekiranya mereka gagal untuk menandatangani pemain lebih muda.
De Murga (kiri) jarang diturunkan bersama skuad Harimau Selatan musim lepas.
Berdasarkan statistik 2022, bekas pemain Chonburi FC itu hanya mengumpul 12 penampilan bersama skuad Harimau Selatan dengan sembilan daripadanya merupakan penampilan dalam Liga Super.
Jadi, dengan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu sedang melakukan rombakan, tidak timbul sebarang persoalan sekiranya mereka membenarkan pemain itu meninggalkan pasukan.
Ketika ini, Terengganu FC dilihat tidak mempunyai apa-apa masalah untuk membawa pemain itu, lebih-lebih lagi dengan barisan kejurulatihan bakal diketuai bekas Penasihat Teknikal, Tomislav Steinbruckner.
Melihat kepada struktur fizikalnya, De Murga juga boleh disifatkan sebagai pemain tinggi dengan statistik rasmi mengatakan pemain berkenaan mencecah 1.8m.
Persoalannya, adakah pihak pengurusan akan terbuka untuk mengambil semula pemain berusia 34 tahun itu selepas mereka pernah bertegas untuk tidak mengekalkan khidmatnya pada 2022?
3. Argzim Redzovic (TFC II)
Selepas membariskan pemain import berdasarkan kuota yang ditetapkan, Terengganu FC terpaksa meletakkan pemain kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic ke dalam skuad simpanan.
Bagaimanapun, keputusan tersebut disusuli dengan penganugerahan lilitan kapten melihat kepada pengalamannya selama hampir dua musim bersama kelab Pantai Timur itu.
Berdasarkan khabar angin yang mula berlegar di media sosial, Argzim difahamkan bakal diperkenalkan bersama skuad senior selepas pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan penambahan kuota tersebut.
Di samping itu, beberapa sumber dipercayai turut berkata, bek tengah itu bakal diberikan status naturalisasi selepas hampir lima tahun beraksi di kancah bola sepak tempatan.
Argzim diletakkan dalam skuad TFC II berikutan lambakan pemain import. — Facebook/Terengganu FC
Tegas, tinggi dan lantang merupakan antara ciri-ciri penting yang boleh memberikan Argzim satu kelebihan untuk tampil dengan lebih kerap musim depan.
Tidak cukup dengan itu, tahun-tahun perkhidmatannya bersama skuad Sang Penyu seakan-akan bakal diberi kredit dengan lebih baik, iaitu dijadikan kapten pasukan untuk tahun akan datang.
Namun, dengan skuad Sang Penyu sudah memulakan sesi latihan pada awal minggu lalu, pemain tersebut sepertinya tidak terlihat bersama rakan sepasukannya.
Perkara itu seolah-olah memberi gambaran bahawa masa depannya bersama Terengganu FC berada di awang-awangan, lebih-lebih lagi dengan mereka dilaporkan akan terus berbelanja sebelum pembukaan tirai liga 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram