[VIDEO] Ibarat rusa masuk kampung, kelibat Tae-su cuba sesuaikan diri bersama PDRM undang sebak fans The Rhinos


  • Podium
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Tangkap layar menunjukkan tingkah laku Taesu dilihat sedikit kekok dan terkial-kial dalam sesi latihan bersama The Cops.

TINGKAH LAKU bekas pertahanan kental Sabah FC, Park Tae-su yang kini menyarung jersi PDRM FC mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan apabila videonya yang sedang menyesuaikan diri bersama pasukan baharu tular di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 40 saat yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, Angkol_Dodz, Tae-su dilihat sedikit kekok dan terkial-kial dalam sesi latihan bersama The Cops hingga ada yang mengibaratkan kehadirannya seperti 'rusa masuk kampung'.

Situasi tersebut nyata mengundang rasa sebak dalam kalangan penyokong Sabah FC, khususnya mereka yang masih sukar menerima pemergian pemain yang cukup sinonim dengan gelaran Ketua Kampung Likas itu.

BACA LAGI: Mula tunjuk belang, import Terengganu antara 3 rekrut sudah ledak gol pertama

BACA LAGI: Bukan saja JDT-Selangor, Sabah FC, Jang Hobin antara ‘sparring’ berkualiti kelab luar

“Jangan kamu kecam video uncle bergegar macam kena penyakit Parkinson, uncle rakam dari jauh ini sambil menangis. Hari-harilah boleh jumpa Tae-su ini.

"Apa-apa pun, selamat maju jaya Ketua Kampung Likas bersama pasukan baru,” tulis pengguna tersebut dalam kapsyen video berkenaan.

Tae-su cukup dikenali dalam kalangan penyokong Sang Badak kerana kesetiaannya bersama pasukan dari 2019 hingga 2024 dengan menyarung jersi Sabah FC selama hampir tujuh musim.

Sepanjang tempoh itu, pemain kelahiran Korea Selatan berkenaan tampil dalam 105 perlawanan, menjaringkan 20 gol dan mencatat sembilan bantuan jaringan, satu pencapaian luar biasa bagi seorang pemain pertahanan.

Perpindahan Tae-su ke PDRM FC menimbulkan pelbagai reaksi, lebih-lebih lagi apabila tiada penjelasan rasmi daripada pihak pengurusan Sabah FC berhubung pemergiannya, sekali gus membuka ruang spekulasi dalam kalangan penyokong.

Walau apa pun cabaran di kelab baharu, Park Tae-su tetap dikenang sebagai salah seorang legenda import paling disayangi di Negeri Di Bawah Bayu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram