
HASRAT Selangor FC untuk meraih kemenangan pertama dalam siri aksi pramusim di Thailand terus menemui jalan buntu apabila mereka tewas 2-1 kepada Chonburi FC dalam perlawanan kedua pada Jumaat.
Selepas kecundang tipis 0-1 kepada Ratchaburi sebelum ini, skuad kendalian Katsuhito Kinoshi tampil dengan barisan terkuat termasuk lima pemain import, antaranya bekas penyerang Kedah Darul Aman FC, Willian Lira.
Lira tidak menunggu lama untuk mencipta impak apabila menjaringkan gol pembukaan, sekali gus meletakkan Merah Kuning di hadapan menentang bekas kelab lamanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Larian demi maruah bukan untuk menang, gelagat Guru Besar SK Gusi curi tumpuan
BACA LAGI: Bukan saja JDT-Selangor, Sabah FC, Jang Hobin antara ‘sparring’ berkualiti kelab luar
Selangor terpaksa menelan pahit selepas tewas dua kali kepada kelab Thailand dalam aksi pramusim baru-baru ini. — Facebook/Selangorfc
Namun kelebihan itu gagal dipertahankan apabila juara Liga 2 Thailand musim 2024/25, Chonburi FC bangkit dengan dua jaringan.
Bekas penyerang Terengganu FC, Adisak Kraisorn menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum penyerang muda Thailand, Tontowan Puntamunee meledak gol kemenangan buat The Sharks.
Turut memperkuatkan Chonburi adalah penjaga gol kebangsaan Filipina, Kevin Ray Mendoza, yang sebelum ini beraksi bersama Kuala Lumpur City FC.
Selangor masih mempunyai tiga lagi perlawanan dalam kempen pramusim di Thailand dan berharap dapat memperbaiki prestasi sebelum tirai Liga Malaysia dibuka.
Selain aksi di Thailand, Merah Kuning turut dijadualkan menentang Asia Warriors FC pada 27 Julai ini sebagai sebahagian daripada persiapan pramusim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram