Bekas kiper negara terlibat kemalangan, kini stabil di PPUM


  • Podium
  • Ahad, 13 Jul 2025

Azizon (atas) pernah beraksi buat skuad kebangsaan sebanyak beberapa kali dalam kariernya.

PERKHABARAN duka diterima peminat bola sepak tempatan apabila bekas penjaga gol negara, Azizon Kadir terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan serius pada Ahad.

Dalam sebuah hantaran dikongsikan laman HarimauMalaya, beberapa kesan luka kelihatan di tubuhnya, namun tidak dapat dipastikan keadaan semasa Azizon yang sedang menerima rawatan.

"Dikhabarkan bekas penjaga gol kebangsaan, Azizon Kadir mengalami kemalangan jalan raya. Dia kini difahamkan berada dalam keadaan stabil di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Semoga diberikan kekuatan dan kesembuhan. Sama sama kita doakan, insya-ALLAH," tulisnya. 

BACA LAGI: Dummy buckle tingkat risiko kemalangan tapi masih ramai pemandu salah guna

BACA LAGI: [VIDEO] 15 maut bas bawa pelajar UPSI terlibat kemalangan di Gerik

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan maklumat lanjut berhubung insiden dialami Azizon dengan perkara tersebut belum dipastikan pihak keluarga.

Menurut maklumat di laman sesawang, penjaga gol tersebut pernah mewakili skuad kebangsaan sebanyak 11 kali dalam kariernya, termasuk ketika saingan Piala Asia 2007.

Namun, persembahan kurang memberangsangkan dalam pertandingan tersebut menyaksikannya dilupakan sebelum sekali dipanggil ke dalam skuad kebangsaan pada 2014 bagi aksi menentang Indonesia.

Di peringkat kelab pula, anak kelahiran Ipoh, Perak itu mewakili pelbagai pasukan seperti Negeri Sembilan, Sarawak dan Perlis dengan kelab terakhir diwakilinya merupakan Perlis pada 2016.

Kini, Azizon masih bergiat aktif dalam dunia bola sepak apabila bergelar jurulatih penjaga gol buat akademi sekitar Lembah Klang seperti mana pernah dikongsikan orang ramai di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram