Sah umum kehadiran Syazwan Andik, KL City sibuk buru bekas kapten Pahang, 'midfield' JDT


  • Podium
  • Selasa, 08 Jul 2025

Syazwan yang beraksi buat skuad Tok Gajah sejak dua tahun lalu secara rasmi berkelana ke ibu kota.

MESKIPUN bermula lewat dalam jendela perpindahan kali ini, Kuala Lumpur (KL) City FC sudah tentu berpuas hati dengan kualiti pemain berjaya dibawa masuk setakat ini.

Ini kerana skuad bimbingan Risto Vidakovic itu sudah mengalu-alukan kehadiran tiga bintang pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Manuel Hidalgo, Syamer Kutty Abba serta bintang utama, Safawi Rasid.

Kelab Lembah Klang itu turut menerima suntikan berpengalaman di posisi pertahanan apabila menerima kemasukan bekas pemain kebangsaan, Adam Nor Azlin yang beraksi buat Sri Pahang FC musim lalu.

BACA LAGI: Tak selincah dulu, JDT buat keputusan bijak hantar Safawi Rasid ke KL City

BACA LAGI: 'Boleh lawan JDT ke?', diam-diam buat kerja, KL City sambar Manuel Hidalgo

Syazwan Andik disahkan sebagai rekrut terbaru skuad Warga Kota. Facebook/KL City FC

Selain itu, skuad Warga Kota sudah mengumumkan kehadiran penjaga gol baharu, Quincy Kammeraad dari Filipina yang pernah menimba pengalaman sekitar Belanda pada awal kariernya.

Kehadiran kesemua pemain tersebut sudah tentu akan memberi nilai baharu buat pasukan Lembah Klang berkenaan yang akan memberi cabaran lebih hebat berbanding musim lalu.

Bagaimanapun, aktiviti perpindahan KL City FC seperti tidak terhenti setakat itu apabila pada Selasa, mereka turut mengumumkan kemasukan bek sayap baharu, Syazwan Andik.

Pemain yang beraksi buat Sri Pahang FC sejak 2023 itu sememangnya diperlukan dalam skuad Warga Kota untuk mengurangkan beban dipikul Declan Lambert sebagai pertahanan kiri utama pasukan.

Kpah yang tidak terikat dengan mana-mana kelab dilaporkan akan menyertai KL City FC. Facebook/Sri Pahang FC

Melihat kepada statistik untuk kempen 2024/25, Syazwan yang merupakan anak jati Skudai, Johor mencatatkan 21 penampilan secara keseluruhan dengan dia berjaya membawa kelab Pantai Timur itu ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Jadi, kemasukannya boleh dikatakan sebagai langkah bijak daripada KL City FC untuk memberi dimensi baharu buat pasukan, baik dari segi serangan apatah lagi pertahanan.

Tidak cukup dengan itu, skuad Warga Kota turut difahamkan akan mengalu-alukan kehadiran dua lagi pemain baharu seperti mana dilaporkan pemerhati bola sepak tempatan, Fina Nasrom.

"Kpah Sherman dan Endrick Dos Santos akan lengkapkan senarai 30 pemain KL City musim 2025/2026. Difahamkan kedua-dua pemain ini bakal memulakan latihan dalam tempoh waktu terdekat," tulisnya menerusi aplikasi X.

Endrick menghabiskan satu musim pinjaman yang cukup bermakna di Vietnam.

Kpah yang sudah lama mewarnai saingan Liga Super merupakan rakan sepasukan Adam dan Syazwan Andik di Sri Pahang musim lalu dengan sentuhannya di barisan serangan masih belum pudar.

Ini kerana daripada 25 penampilan dalam semua pertandingan musim lalu, penyerang kebangsaan Liberia tersebut merekodkan 11 gol dan satu bantuan jaringan yang pastinya diperlukan KL City FC.

Bagi Endrick pula, perpindahannya ke Vietnam bagi kempen 2024/25 jelas membuahkan hasil berbaloi kerana dia diberikan minit permainan mencukupi berbanding hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang bersama JDT.

Meskipun hanya merekodkan dua gol dan lima bantuan jaringan, pemain naturalisasi negara terbabit memainkan peranan penting di atas padang apabila beberapa kali diberi peranan kapten.

Sekiranya kesemua pemain baharu KL City FC itu dapat memberi impak seperti mana diperlukan Vidakovic, tidak mustahil sekiranya mereka muncul sebagai pencabar utama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram