OPR turun ke 2.75 peratus berita baik, tapi janganlah buat pinjaman tak ingat dunia


  • Massa
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Orang ramai perlu cakna dalam membuat pinjaman peribadi kerana dikhuatiri terdapat kesan jangka masa panjang. — Gambar hiasan

BANK Negara Malaysia (BNM) pada Rabu mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) diturunkan sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) diadakan.

Ini merupakan satu berita baik buat orang ramai memandangkan penurunan tersebut akan menyaksikan pinjaman, termasuk yang melibatkan hartanah dan kenderaan.

Keputusan itu juga menyaksikan BNM pertama kali berbuat demikian selepas kadar berkenaan dikekalkan sebanyak 12 kali sejak Mei 2023 dengan perkhabaran baik tersebut amat dinantikan pengguna.

BACA LAGI: Bank Negara turunkan OPR kepada 2.75 peratus, kali pertama sejak Mei 2023

BACA LAGI: Tolak naratif negatif, lawatan PM Anwar ke Brazil kukuhkan suara Malaysia di arena global

BNM mengurangkan OPR buat pertama kali sejak dikekalkan pada 3 peratus bermula Mei 2023.

Bagaimanapun, meskipun orang ramai boleh menarik nafas lega atas penurunan terbabit, masing-masing masih perlu peka dan tidak mengambil mudah atas dasar baharu itu.

Berdasarkan analisis pakar ekonomi, penurunan OPR boleh membawa beberapa kesan negatif, termasuk menyebabkan nilai mata wang semakin lemah dan meningkatkan risiko inflasi.

Meskipun tidak dapat dinafikan kadar baharu itu turut memberi impak positif, pengguna masih perlu celik dan tidak sewenang-wenangnya membuat pinjaman peribadi.

Pempengaruh media sosial, Nazri Hamdan yang sering berbicara mengenai isu ekonomi sempat memberi nasihat bahawa penurunan OPR akan turut memberi kesan jangka masa panjang.

"Hati-hati bila OPR turun kerana jumlah wang dalam pasaran akan bertambah lebih laju dalam ekonomi. Kesannya, nilai wang akan turun lebih pantas kerana inflasi akan kembali naik.

Bayaran pinjaman bulanan rumah menurun antara kesan positif penurunan kadar OPR. Gambar hiasan

"Walaupun dalam jangka masa pendek pengguna berasa lega, dalam jangka masa panjang makin banyak wang diperlukan untuk beli barang. Jangan buat pinjaman tak ingat dunia kerana kadar faedah rendah," katanya.

Jelasnya, orang ramai perlu waspada memandangkan BNM pasti menaikkan semula OPR apabila ekonomi sudah kembali pulih, sekali gus menyaksikan bayaran pinjaman akan dinaikkan semula.

Kesan jangka masa panjang itu bagaimanapun tidak wajar dijadikan asbab buat orang ramai terus kecewa dan gusar akan perubahan diambil bank pusat tersebut kerana impak positif masih boleh dinikmati.

Pengguna, termasuk yang membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan antara yang menikmati kesan baik kerana kadar faedah lebih rendah memudahkan mereka membuat pinjaman bagi tujuan perniagaan.

Selain itu, kadar OPR rendah akan menyaksikan orang ramai yang membuat pinjaman rumah akan menikmati bayaran bulanan lebih rendah kerana bank lazimnya menyelaraskan kadar pinjaman seperti Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) berdasarkan perubahan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram