Juara dunia rebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2022


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Sidang media Anugerah SAM-100Plus 2022. Turut hadir, Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap (tengah).

DATUK Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah dan beregu lelaki yang juga Olahragawan Kebangsaan 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilabel sebagai dua calon utama yang disebut-sebut bakal meraih gelaran Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022.

Jaguh bina badan dan beregu lelaki utama negara itu merupakan lima calon yang disenarai pendek dalam merebut anugerah berkenaan, berdasarkan undian yang telah dijalankan dari 22 hingga 25 Ogos lalu.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2022 dijadual berlangsung pada 29 Ogos 2023 dan akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Datuk Mohd Syarul Azman atau lebih dikenali Mike Mahen, 50, menjadi tumpuan apabila meraih gelaran juara dunia buat kali kelima pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Phuket Thailand pada Disember 2022 dalam kategori ‘athletic physique’ atas 167cm.

Kali pertama, beliau meraih gelaran dunia pada tahun 2016 malah berjaya mempertahankannya pada 2017, 2018 dan 2019. Tiada kejohanan dianjurkan pada 2020, susulan pandemik Covid-19. Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu bagaimanapun terlepas gelaran juara pada edisi 2021.

Untuk rekod, kali terakhir atlet dari sukan bina badan menjadi penerima Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS pada 2013 menerusi Sazali Samad.

Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian gelaran sulung Malaysia di pentas Kejohanan Badminton Dunia pada edisi ke-27 yang berlangsung di Tokyo dengan penuh bergaya selepas menewaskan lawan yang pernah mereka tewaskan ketika penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

2253333

Azeem Fahmi atau Usain Bolt Malaysia meraih Anugerah Khas SAM-100PLUS 2022.

Perebutan Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2022 kali ini sememangnya menyaksikan saingan sengit dalam kalangan juara dunia, termasuklah jaguh snuker, Lim Kok Leong yang muncul juara dunia pada Kejohanan Snuker Amatur Dunia.

Melengkapkan senarai calon merebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2022 adalah atlet angkat berat, Muhammad Aniq Kasdan dan pemenang dua pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham iaitu atlet gimrama, Ng Joe Ee yang juga Olahragawati Kebangsaan 2022.

Anugerah Atlet Para Terbaik 2022 pula menyaksikan saingan sengit dua jaguh dunia, Cheah Liek Hou (badminton para) dan Bonnie Bunyau Gustin.

Rekod tanpa kalah yang dipegang Liek Hou selaku juara badminton para dunia tujuh kali musim lalu meletakkan beliau sebagai pilihan untuk dinobatkan atlet para terbaik 2022.

Bermula dengan kejohanan Antarabangsa Brazil pada April 2022, diikuti kejohanan Antarabangsa Bahrain pada Mei, Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa Ireland pada Julai (dua emas) dan Kejohanan Badminton Para Dunia pada November, menjadikan Liek Hou layak memenangi anugerah ini.

Bonnie Bunyau, 24, pula tidak kurang hebatnya apabila menepati ramalan meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Kejayaan jaguh dunia dari Serian, Sarawak itu dalam kategori lightweight bawah 72 kilogram (kg), sekali gus menyaksikan Bonnie menyumbangkan pingat emas keempat kepada kontinjen negara pada Sukan Komanwel kali ini.

2251181

Bonnie pernah menjuarai pingat emas Olimpik Paralimpik Tokyo pada 2021.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo tahun lepas itu, melakukan angkatan 220kg yang juga rekod temasya.

Kejayaan itu juga menyaksikan Bonnie Bunyau mencipta sejarah muncul atlet pertama Malaysia, memenangi acara tersebut di temasya sukan berkenaan.

Calon lain yang turut bersaing ialah Nani Shahiera Zawawi (olahraga) serta dua atlet renang Brenda Anellia Larry dan Carmen Lim.

Kedua-dua pemenang Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2022 masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, warga media sukan juga berpeluang memenangi hadiah melalui enam kategori anugerah kewartawanan yang dipertandingkan iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Satu anugerah baharu turut diperkenalkan pada tahun ini iaitu Anugerah Pengulas Sukan Popular yang pemilihannya dijalankan berdasarkan undian terbanyak dilakukan secara dalam talian pada 22 hingga 27 Ogos lalu.

Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai pemenang trofi Anugerah Siebel dan hadiah wang tunai RM7,000.

2130614

Azizulhasni (kiri) muncul pemenang Anugerah Atlet Terbaik SAM sebanyak empat kali. — Bernama

SENARAI ATLET TERBAIK SAM:

1995 - Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Badminton)

1996 - Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Badminton)

1997 - Nurul Huda Baharin (Menembak)

1998 - Lim Keng Liat (Renang)

1999-2001 - Tiada Anugerah

2002 - Lim Keng Liat (Renang)

2003 - Lim Keng Liat (Renang)

2004 - Bryan Nickson Lomas (Terjun)

2005 - Nicol Ann David (Skuasy)

2006 - Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (Badminton)

2007 - Wong Mew Choo (Badminton)

2008 - Lee Chong Wei (Badminton)

2009 - Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

2010 - Pandelela Rinong Pamg (Terjun)

2011 - Nur Suryani Taibi (Menembak)

2012 - Pandelela Rinong Pamg (Terjun)

2013 - Sazali Samad (Bina Badan)

2014 - Nicol Ann David (Skuasy)

2015 - Pandelela Rinong Pamg (Terjun)

2016 - Lee Chong Wei (Badminton)

2017 - Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

2018 - Muhammad Rafiq Ismail (Boling)

2019 - Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

2020/2021 – Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

ATLET PARA TERBAIK SAM:

2016 - Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (Olahraga)

2017 - Muhammad Ziyad Zolkefli (Olahraga)

2018 - Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (Olahraga)

2019 - Bonnie Bunyau Gustin (Powerlifting)

2020/2021 – Bonnie Bunyau Gustin (Powerlifting) — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram