WARTAWAN The Star, T. Avineshwaran muncul juara kategori Ulasan Berita Terbaik Media Cetak Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100Plus 2023 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada Khamis.
Avineshwaran pada awalnya tersenarai sebagai lima finalis terbaik kategori tersebut menerusi ulasan berita bertajuk 'Why silence the players, just for being honest?'
Kemenangan Avineshwaran dalam penganjuran Anugerah SAM-100Plus 2023 itu sekali gus menyaksikan satu pengiktirafan buat The Star yang pastinya menambah kepercayaan pembaca kepada akhbar bahasa Inggeris nombor satu Malaysia itu.
BACA LAGI: MFL perlu segera tetapkan hukuman tepis persepsi 'sengaja rosakkan rentak Selangor FC'
Malam gemilang Avineshwaran diserikan dengan membawa pulang wang tunai RM3,000.
Dalam pada itu, gandingan boling padang negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi mencipta sejarah apabila muncul wakil boling padang memenangi Anugerah Atlet Terbaik pada Anugerah SAM.
Mereka mengatasi dua bintang skuasy negara S. Sivasangari dan Ng Eain Yow, atlet wushu Wong Weng Soon serta juara tenpin boling dunia Natasha Mohamed Roslan.
September lepas, Nur Ain Nabilah-Aleena mencipta sensasi menamatkan kemarau 15 tahun tanpa pingat emas buat Malaysia pada aksi final pairs wanita pada Kejohanan Boling Padang Wanita 2023 dengan menewaskan wakil Malta, Rebecca Rixon-Connie Rixon, 15-12 di di Gold Coast, Australia.

Nur Ain Nabilah-Aleena dinobatkan juara pada Kejohanan Boling Padang Wanita 2023.
Selain itu, juara Sukan Paralimpik 2020, Cheah Liek Hou mempertahankan gelaran Atlet Para Terbaik dengan menumpaskan calon lain iaitu jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin dan atlet boccia Noor Askuzaimey Mat Salim.
Majlis Anugerah SAM-100Plus 2022 itu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh dan turut diserikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Norza Zakaria.
Pengeluar minuman isotonik terkemuka di Malaysia, 100Plus memainkan peranan penting dalam menjadi rakan kongsi utama majlis anugerah tersebut. —— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
