Balu Diogo Jota warisi harta cecah RM200 juta


  • Podium
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Cardoso (tengah) masih meratapi kehilangan suaminya yang baru sahaja dikahwini tidak lebih dari dua minggu.

TRAGEDI menimpa bintang Liverpool, Diogo Jota yang meninggal dunia bersama adiknya, Andre dalam satu kemalangan jalan raya di Sepanyol pada 3 Julai lalu masih sukar dilupakan.

Tetapi, sesuai dengan peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kejadian itu sudah tentu lebih sukar ditelan isterinya, Rute Cardoso selepas mereka baru sahaja mendirikan rumahtangga pada 22 Jun lalu.

Hari indah itu sememangnya bermakna buat pasangan kekasih itu selepas mereka menjalinkan hubungan sejak di bangku persekolahan dan dikurniakan tiga cahaya mata.

BACA LAGI: Pesanan terakhir isteri mendiang Diogo Jota, ditinggalkan buat selama-lamanya lepas hanya sempat 10 hari bernikah

BACA LAGI: Diogo Jota: Perginya sosok aktif pejuang hak wanita, kesaksamaan jantina dalam dunia sukan

Jota meninggalkan balu yang baru sahaja dikahwininya serta tiga anaknya yang masih kecil.

Namun, tidak lama selepas momen sukar dilupakan itu, Cardoso terpaksa menelan hakikat bahawa pasangannya sudah mengebuskan nafas terakhir dalam insiden yang mengejutkan dunia bola sepak antarabangsa.

Bagaimanapun, balu kepada Diogo tidak akan terus terbeban daripada pemergian pemain antarabangsa Portugal itu kerana mendiang meninggalkan harta mencukupi buat keluarganya.

Laporan Express UK menyatakan keluarga mendiang akan menerima £35 juta (RM201.9 juta) yang akan membantu Cardoso menampung perbelanjaan tiga anaknya yang masih kecil.

Harta ditinggalkan itu diperolehi hasil kontrak baharu ditandatangani mendiang yang menyaksikannya menerima £140,000 (RM807,719) seminggu dengan bayaran tersebut akan diteruskan Liverpool.

Keputusan pihak pengurusan The Reds dibuat bagi meringankan beban dipikul keluarga memandangkan kontrak Jota bersama juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) hanya akan berakhir pada 2027.

Keadaan kereta dipandu Jota yang terbabas sebelum dijilat api.

Selain itu, mendiang yang berusia 28 tahun turut mempunyai pelbagai aset lain, termasuk sebuah unit apartment di Utara Liverpool yang dibeli mereka dengan harga £2.15 juta (RM12.4 juta) pada Mei 2022.

Harta lain dimiliki mendiang juga termasuk beberapa model kereta mewah seperti Porsche 911, Ferrari 488, Audi Q7 dan Mercedes Benz G63AMG yang boleh dicairkan sekiranya diperlukan Cardoso.

Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada kesemua harta berkenaan akan menjadi milik Cardoso serta anak-anaknya kerana bapa mendiang, Joaquim juga terlibat dalam menguruskan hartanah miliknya seperti mana dilaporkan media Portugal.

Jota sebelum ini dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya yang menyaksikan kereta dipandunya, Lamborghini Huracan terbabas dan terbakar di lebuh raya.

Dia dilaporkan baru sahaja selesai menjalani pembedahan paru-paru dengan pihak perubatan menasihatinya supaya tidak pulang ke Liverpool dengan penerbangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram