Obregon dalam radar kelab Colombia, ada potensi berdepan Holgado jika dilepaskan JDT


  • Podium
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Pulangan Obregon cukup mengecewakan melihat kepada pelaburan besar dibuat JDT untuk mendapatkan khidmatnya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KETIKA ini, nasib Jorge Obregon dalam Johor Darul Ta'zim (JDT) sukar dipastikan kerana penyerang tersebut dilaporkan tidak lagi diperlukan khidmatnya dalam skuad Harimau Selatan.

Meskipun tidak berada dalam senarai 11 pemain dilepaskan, maklumat disertakan di laman sesawang transfermarkt menyatakan peledak tersebut kini berstatus ejen bebas.

Malah, sepanjang sesi pramusim di Sepanyol, kelibat penyerang berkenaan juga tidak kelihatan dengan ia sedikit sebanyak menceritakan masa depannya bersama kelab terbabit.

BACA LAGI: Ibarat tak dirindui, kelab Croatia julang trofi lepas jual Obregon dibelenggu 'flop' di JDT

BACA LAGI: JDT tersembam di kandang sendiri, reff 'rampas' gol Bergson-Obregon

Kehadiran Figueiredo menutup pintu buat Obregon untuk meneruskan karier bersama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jadi, dengan juara bertahan Liga Super itu sudah membawa masuk Joao Figueiredo sebagai penyerang baharu, terdapat kemungkinan Obregon akan dilepaskan pada jendela perpindahan kali ini.

Sebelum ini, kedengaran khabar angin menyatakan pemain kelahiran Colombia itu akan menyertai Negeri Sembilan FC secara pinjaman, namun ura-ura tersebut segera ditepis pihak pengurusan kelab.

Tetapi, tidak lama selepas gosip tersebut disenyapkan, kedengaran pula laporan terbaru mengatakan Obregon akan pulang ke negara asalnya bagi musim akan datang seperti mana dikongsikan pemerhati bola sepak di laman X, Dogor Big.

"Jorge Obregon difahamkan sudah menerima tawaran rasmi daripada La Equidad dengan pemain tersebut mahu memuktamadkan masa depannya dalam masa terdekat. Dia sedang berunding sebagai ejen bebas selepas menamatkan tempohnya bersama JDT," tulisnya.

Penyerang berusia 28 tahun itu sebelum ini menyertai skuad Harimau Selatan pada pertengahan kempen 2024/25 setelah kelab terbabit membayar €500,000 (RM2.33 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.

Holgado kini beraksi cemerlang di Colombia buat America de Cali. Agensi

Bagaimanapun, sepanjang separuh musim di Selatan tanah air, Obregon hanya mencatatkan tujuh gol dan dua bantuan jaringan dengan pulangan tersebut sedikit mengecewakan melihat kepada pelaburan sudah dibuat.

Prestasi terbaiknya diharapkan dapat ditemukan semula sekiranya penyerang tersebut kembali ke Amerika Selatan dengan La Equidad memerlukan rekrut baharu di posisi serangan.

Menariknya, sekiranya perpindahan itu dimeterai, Obregon berpeluang berdepan peledak baharu skuad kebangsaan, Rodrigo Holgado yang kini beraksi buat America de Cali.

Pemain warisan negara itu beraksi dalam Liga Colombia meskipun terdapat khabar angin menyatakan penyerang tersebut akan meninggalkan kelab semasanya tidak lama lagi.

Pertemuan di atas padang itu sudah tentu menarik untuk disaksikan kerana Holgado berada dalam prestasi terbaik ketika ini sementara Obregon sedang berusaha mencari rentak terbaik semula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram