
LEGENDA bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan menyifatkan pencapaian ranking ke-125 dunia oleh skuad Harimau Malaya sebagai satu perkembangan yang amat membanggakan dan menyuntik semangat baharu buat seluruh keluarga bola sepak negara.
Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), peningkatan ranking itu perlu dilihat sebagai satu permulaan yang baik untuk melonjakkan lagi mutu bola sepak Malaysia di persada antarabangsa.
“Nampak satu kenaikan yang bagus dan membanggakan buat keluarga bola sepak Malaysia. Kita harap akan ada kedudukan yang lebih baik di masa akan datang.
“InshaaALLAH dengan apa yang telah dikendalikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pengurusan pasukan kebangsaan. Memang daripada segi pengalaman saya, boleh nampak pasukan ini akan dapat meningkatkan atau memperbaikikan lebih jauh,” katanya.
BACA LAGI: MFL buat ‘U-turn’, hanya 6 pemain asing kini dibenarkan di atas padang
Zainal Abidin ditemui selepas Majlis Perjanjian Kerjasama Strategik antara FAM dan Bank Islam 2025-2027 di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan bola sepak tanah air apabila memeterai perjanjian kerjasama strategik bersama FAM buat kali kelima.
Kerjasama yang diperbaharui ini meliputi pelbagai inisiatif, termasuk aktiviti pemasaran bersama serta kesinambungan program Kad Debit-i Jenama Bersama Team Harimau, yang menyasarkan untuk mengukuhkan lagi hubungan antara institusi kewangan dan penyokong pasukan kebangsaan.
Majlis menandatangani perjanjian strategik disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.
Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed serta Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Datuk Hamidin Haji Mohd Amin.
Dalam pada itu, beliau yang juga bekas kapten sepak negara menyifatkan struktur serta hala tuju baharu yang diterapkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mampu memberi impak jangka panjang yang positif terhadap prestasi Harimau Malaya.
“Saya lihat dengan pengalaman yang ada, pasukan ini mampu memperbaiki dan melonjakkan prestasi lebih jauh. Komitmen yang ditunjukkan sangat tinggi, dan inilah landasan terbaik yang telah dicipta oleh TMJ.
“Ini adalah penghormatan kepada negara. Kita perlu mengambil peluang ini sepenuhnya untuk membawa pasukan kebangsaan lebih jauh,” jelasnya.
Zainal Abidin turut menegaskan bahawa seluruh ekosistem bola sepak negara bukan hanya FAM tetapi juga perlu memberikan sokongan penuh terhadap pembangunan pasukan kebangsaan.
“Yang pertama sekali, kita perlu memberi sokongan sepenuhnya. Bukan sahaja di FAM, tetapi seluruh keluarga bola sepak harus bersatu hati untuk kita maju. Kita tahu kita sudah lama ketinggalan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Malah, beliau yakin dengan kendalian semasa skuad kebangsaan, khususnya di bawah naungan Tunku Ismail, pasukan negara kini berada di landasan terbaik untuk mencipta lebih banyak kejayaan.
Menurutnya, pencapaian semasa bukanlah penamat, sebaliknya menjadi asas penting untuk membina masa depan bola sepak negara yang lebih cemerlang.
“Bagi saya, ini baru permulaan. Ini sudah cukup baik sebagai titik tolak untuk kita terus melangkah ke tahap lebih tinggi. Permulaan ini mesti kita manfaatkan sepenuhnya," jelasnya.
Dengan peningkatan prestasi yang konsisten serta sokongan padu pelbagai pihak, Zainal Abidin percaya Harimau Malaya kini berada di trek yang tepat untuk kembali disegani di peringkat serantau dan global. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram