
SKUAD Harimau Malaya mencipta sejarah tersendiri apabila melonjak enam anak tangga dalam ranking Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus memecahkan rekod 19 tahun apabila kini menghuni kedudukan ke-125 dunia.
Ia adalah ranking terbaik Malaysia sejak kali terakhir berada di tangga ke-124 pada 2006.
Kemas kini terbaharu yang diumumkan FIFA pada Khamis menyaksikan skuad bimbingan Peter Cklamovski memungut tambahan 14.91 mata hasil kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur 10 Jun lalu.
BACA LAGI: Sah sambar Tommy Mawat, bekas bintang Penang patut dibawa masuk DPMM FC
BACA LAGI: Ex-striker Sabah tiada rezeki di Vietnam, 3 kelab termasuk Kuching City boleh jadi majikan baharu
Malaysia kini mengumpul keseluruhan 1,138.48 mata, sekali gus menyalakan kembali harapan untuk terus memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.
Ini adalah kali pertama sejak 2011 Harimau Malaya mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Vietnam di laman sendiri yang merupakan satu perkembangan positif menjelang kempen antarabangsa yang lebih mencabar.
Skuad negara bakal menyertai Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Ogos dan dijangka memberi ruang buat Malaysia mengutip lebih banyak mata ranking sekiranya mencatat keputusan positif.
Jika melihat keseluruhan mata yang dikumpul, skuad kebangsaan hanya ketinggalan 13 mata berbanding pasukan Korea Utara yang berada di tangga 119.
Jika momentum semasa berjaya dikekalkan, Harimau Malaya berpotensi melonjak lebih tinggi menjelang penghujung tahun ini.
Berdasarkan undian, Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan B bersama pasukan gergasi Asia, Iran, selaku pilihan utama kejohanan serta dua lagi negara dalam kumpulan itu, Afghanistan serta Tajikistan yang merupakan tuan rumah.
Harimau Malaya akan membuka kempen menentang Tajikistan pada 29 Ogos, diikuti Iran pada 1 September, sebelum menamatkan aksi kumpulan menentang Afghanistan pada 4 September.
Ketiga-tiga perlawanan akan berlangsung di ibu negara Tajikistan, Dushanbe. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram