
AKTIVITI perpindahan turut menarik dilakukan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila mereka membawa masuk tiga pemain warisan untuk memperkuatkan pasukan bagi saingan musim 2025/26.
Mereka yang sudah sah akan menyarung jersi Harimau Selatan bagi kempen akan datang ialah Jon Irazabal, Hector Hevel dan Joao Figueiredo yang sudah beraksi buat skuad kebangsaan sebelum ini.
Kemasukan ketiga-tiga pemain tersebut akan menyaksikan skuad kendalian Xisco Munoz meneruskan dominasi dalam arena bola sepak tempatan di samping memberi saingan lebih hebat di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
BACA LAGI: Lepas Nacho Mendes, bekas rakan sepasukan Man United disebut isi slot penyerang JDT
Figueiredo menjadi antara pemain warisan negara yang akan menyertai skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagaimanapun, usaha JDT memperkuatkan pasukan dengan lebih ramai pemain warisan tidak terhenti di situ kerana baru-baru ini, mereka dilaporkan akan membawa masuk seorang lagi rekrut dalam kategori tersebut.
Berdasarkan laporan La Voz de Asturias yang berpangkalan di Sepanyol, bintang terbaru dimaksudkan ialah Nacho Mendez yang kini berstatus ejen bebas setelah dilepaskan Sporting Gijon.
Pemain tengah terbabit difahamkan sudah berada dalam perancangan untuk diserap ke Harimau Malaya dalam masa terdekat meskipun perpindahannya ke JDT belum dimeterai setakat ini.
"Mendez dilaporkan berada dalam pelan bagi saingan Piala Negara-Negara CAFA yang dianjurkan Kesatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) yang dijadualkan berlangsung pada September.
Nacho Mendez dilaporkan akan beraksi buat Harimau Malaya dalam Piala Negara-Negara CAFA. — Agensi
"Perjanjian antara kedua-dua pihak menyaksikannya akan menyertai JDT untuk tiga musim dengan kelab itu turut dibarisi pemain seperti Roque Mesa, Juan Muniz, Alvaro Gonzalez serta beberapa pemain berdarah Sepanyol lain," tulisnya.
Sebelum ini, pelbagai laporan media antarabangsa menyatakan Mendez akan menyertai skuad Harimau Selatan selepas menawarkan gaji bulanan mencecah kira-kira RM450,000.
Perpindahan berkenaan akan hampir dimeterai selepas pemain berusia 27 tahun terbabit menolak tawaran Sporting Gijon untuk melanjutkan kontraknya, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya.
Ini kerana Mendez akan meraih pengalaman dalam ACL Elite buat pertama kali selepas bermusim-musim beraksi di Sepanyol dengan tempoh beraksi di JDT dijangka memberi pendedahan baharu kepadanya.
Sekiranya pemain terbabit menerima status warisan, kehadirannya akan membantu Harimau Malaya yang akan bersaing dalam Piala Negara-Negara CAFA selain dalam peluang cerah melayakkan diri ke Piala Asia 2027. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram