
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pindaan peraturan pemain asing Liga Malaysia 2025-2026 yang menyaksikan kuota pemain asing di atas padang dikurangkan kepada enam pemain berbanding tujuh pemain seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL ke-14 Bagi Penggal 2021-2025 selepas mengambil pertimbangan semula impak kepada Liga Malaysia dan juga perkembangan pemain tempatan.
MFL dalam satu kenyataan pada Rabu menyatakan, keputusan untuk mengurangkan seorang pemain asing di atas padang dilihat dapat memberi sedikit keseimbangan di antara pemain tempatan dan pemain asing dalam kesebelasan utama pasukan pada hari perlawanan.
BACA LAGI: Imigresen perlu cari 'home' selewatnya Sabtu, masih berminat di Utara tanah air — MFL
BACA LAGI: MFL umum 13 kelab sah bertanding Liga Super, Sri Pahang ‘tercicir’
"Berdasarkan pindaan terbaharu itu, kuota pemain asing di atas padang adalah seramai 6+3 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+1 Asean berbanding sebelum ini 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+2 Asean.
"MFL percaya kehadiran pemain asing akan meningkatkan daya tarikan serta saingan dalam Liga Malaysia namun dalam masa yang sama perkembangan pemain tempatan juga menjadi agenda utama MFL untuk membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkasakan skuad Harimau Malaya.
"Malah pandangan kelab-kelab juga diambil kira dalam keputusan pindaan ini di mana mereka berpendapat kehadiran lebih ramai pemain Asean tidak memberi banyak impak kepada prestasi pasukan," tulis MFL.
Bagaimanapun bagi jumlah kuota pemain asing yang boleh didaftarkan dalam satu pasukan masih kekal kepada 15 pemain.
Namun setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota pemain asing ini sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram