Nacho Mendez sah pemain JDT, RM450,000 gaji bulanan harapnya jadi modal 'book' slot suku akhir ACLE


  • Podium
  • Rabu, 09 Jul 2025

Nacho yang beraksi dalam liga kedua Sepanyol menjadi rekrut keempat skuad Harimau Selatan. — Instagram/NachoMendez

SELEPAS berbulan-bulan dikaitkan ke Johor Darul Ta'zim (JDT), Nacho Mendez akhirnya sah melengkapkan perpindahan ke Harimau Selatan dengan dia akan memperkuatkan bahagian tengah pasukan. 

Perpindahan pemain tengah berusia 27 tahun itu diumumkan pengurusan Harimau Selatan menerusi satu video di Johor Southern Tigers dengan kapsyen 'Nacho Mendez memilih Johor sebagai destinasi pertamanya selepas beraksi di Sepanyol'. 

Pengumuman pada Rabu itu menyaksikan Mendez menjadi pemain JDT terbaru selepas Ibrahim Manusi, Antonio Glauder, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Jonathan Silva dan Jairo da Silva.

BACA LAGI: Lepas Nacho Mendes, bekas rakan sepasukan Man United disebut isi slot penyerang JDT

BACA LAGI: Bintang Sepanyol hampiri status pemain warisan, siap pakej perpindahan ke JDT

Kehadiran bekas kapten Sporting Gijon itu tidak mengejutkan penyokong susulan namanya Mendez sudah lama dikaitkan dengan Harimau Selatan dan dia juga didakwa merupakan pemain warisan Harimau Malaya. 

Perpindahan Mendez ke Harimau Selatan itu juga nampaknya menjawab teka-teki mengenai kesanggupan JDT membayar gajinya mencecah RM100,000 seminggu atau kira-kira RM450,000 setiap bulan.

Media Sepanyol iaitu El Comercio sebelum ini melaporkan pemain tengah berkenaan sudah menandatangani kontrak tiga tahun bersama juara 11 kali berturut-turut Liga Super tersebut. 

Meskipun membuat pelaburan besar dengan membayar gaji lumayan kepada Mendez, penyokong optimis pemain itu akan memberi pulangan berbaloi kepada JDT terutama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). 

"Kehadiran Mendez ini mungkin boleh beri JDT slot suku akhir ACLE nanti," kata penyokong Harimau Selatan, Hafizzudin Salim.

"Pemain tengah terbaik dalam La Liga 1 menjadi milik kelab terbaik di Malaysia," komen pengikut JDT, John Wilson. 

Sebelum menyertai JDT, Mendez merekodkan 218 penampilan dengan menyumbang 17 gol dan 11 bantuan gol bersama Gijon. Mendez kemudiannya meninggalkan kelab La Liga 2 itu apabila kontraknya tamat pada 30 Jun lalu.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram