
PERANCANGAN menarik diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memperkuatkan lagi skuad kebangsaan apabila mereka mengumumkan pasukan negara akan berentap dalam Piala Negara-Negara CAFA.
Kejohanan yang diadakan secara persahabatan itu dianjurkan Persekutuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) yang akan mengumpulkan pasukan di rantau tersebut serta beberapa negara jemputan lain.
Ini merupakan satu penghormatan buat Harimau Malaya yang akan berentap dalam edisi kedua pertandingan itu dengan mereka diletakkan dalam Kumpulan B di samping Afghanistan, Iran dan Tajikistan.
BACA LAGI: Tak perlu spesifik, cukuplah dedah anggaran gaji pemain Liga M — Zulakbal
Harimau Malaya akan menjadi pasukan jemputan bagi pertandingan anjuran CAFA itu.
Bagaimanapun, keputusan FAM untuk menghantar skuad kebangsaan dalam Piala Negara-Negara CAFA menyaksikan badan induk berkenaan terpaksa melupakan hasrat untuk menganjurkan Pestabola Merdeka.
Keputusan tersebut dibuat kerana terdapat kekangan masa dihadapi pasukan negara yang tidak boleh memberi tumpuan kepada kedua-dua pertandingan itu selain juga perlu bersedia menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027.
Meskipun pendirian diambil FAM itu menerima respons baik, ada pula sesetengah penyokong beranggapan Pestabola Merdeka wajar terus dianjurkan bagi menyemai kemeriahan dalam kalangan generasi baharu.
Namun, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim, keputusan dibuat FAM itu boleh difahami kerana ia dibuat demi kelangsungan semasa pasukan negara.
Zulakbal menyedari situasi yang menghimpit FAM ketika mahu membuat keputusan.
"Saya nampak, dari segi teknikal, badan induk itu memberi kepentingan kepada Piala Negara-Negara CAFA untuk menajamkan pasukan bermula sekarang ini untuk menghadapi aksi seterusnya menentang Vietnam dalam kempen kelayakan.
"FAM seperti terhimpit antara menjaga nostalgia atau menjaga kepentingan semasa, tetapi nampaknya FAM mengetengahkan kepentingan semasa untuk buat keputusan dengan tidak menganjurkan Pestabola Merdeka," katanya kepada Majoriti.
Zulakbal turut sempat memberi pandangan bahawa kejohanan jemputan tertua di Asia itu perlu dianjurkan secara tetap menjelang sambutan kemerdekaan bagi mengenang nilai di sebalik penganjurannya sejak 1957.
Dia yang merupakan pemegang Diploma Kejurulatihan AFC turut berpandangan Pestabola Merdeka tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada Harimau Malaya kerana pasukan pelapis juga boleh dihantar sebagai wakil negara.
Skuad kebangsaan mempunyai misi lebih getir bagi tahun-tahun mendatang. — Facebook/FAM
"Boleh sahaja dianjurkan, tetapi hantarlah skuad Bawah 20 Tahun (B-23) atau B-19. Namun, ia masih berada di bawah hak FAM untuk menganjurkannya atau sebaliknya.
"Jika ditanya saya, ia perlu diadakan setiap kali sambutan kemerdekaan supaya peminat secara beramai-ramai hadir ke stadium bagi menikmati sukan paling diminati dalam negara," katanya.
Keputusan menghantar skuad pelapis ke kejohanan tersebut pernah diambil sebelum ini dengan hasil lumayan pernah disaksikan apabila skuad B-23 negara menjuarainya sebanyak dua kali.
Namun, sekali pun Pestabola Merdeka dianjurkan pada Ogos atau September, pasukan bimbingan Nafuzi Zain juga tidak mampu menyertainya kerana sibuk akan tugasan dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram