Ibarat tak dirindui, kelab Croatia julang trofi lepas jual Obregon dibelenggu 'flop' di JDT


  • Podium
  • Sabtu, 31 Mei 2025

HNK Rijeka mendapatkan kejayaan sulung mereka menjulang trofi Liga 1 Croatia sejak 2017.

KEHADIRAN Jorge Obregon ke Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Ogos musim 2024/2025 disambut dengan harapan tinggi oleh penyokong, namun prestasi hambar penyerang Colombia itu ternyata tidak menepati jangkaan.

Tujuh gol dan merekodkan dua bantuan jaringan dalam 22 penampilan buat kesemua pertandingan sudah cukup untuk menceritakan pelaburan sebanyak €500,000 (RM2.33 juta) Obregon boleh dikatakan kurang berbaloi.

Pada awalnya, kelab Croatia berkenaan menetapkan harga lebih €2 juta (RM10.2 juta) namun akhirnya menerima hanya sekitar €500,000 untuk melepaskan Obregon ke kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu.

BACA LAGI: Kemasukan Obregon bukti JDT tak hanya fokus prestasi atas padang, kantung kelab pun dijaga rapi

BACA LAGI: Striker baka Colombia sanggup tak turun latihan, desak majikan terima tawaran RM4.8 juta demi ke JDT

Difahamkan, juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu berjaya mendapatkan Obregon dengan harga yang jauh lebih rendah daripada nilai asal apabila pemain itu sendiri mendesak untuk meninggalkan HNK Rijeka.

Di sebalik kekecewaan penyokong JDT terhadap prestasinya, HNK Rijeka pula menikmati keuntungan besar apabila akhirnya mendapatkan kejayaan sulung mereka menjulang trofi Liga 1 Croatia sejak 2017.

Ironiknya, pemergian Obregon tidak merugikan Rijeka sebaliknya memberi ruang kepada kelab itu merombak skuad dan membina pasukan lebih kompetitif dan akhirnya muncul juara Liga 1 Croatia, sekali gus mengakhiri penantian selama lapan tahun.

Dalam pada itu, sekiranya situasi Obregon tidak memberikan untung kepada JDT, pasti kelab berkenaan tidak akan teragak-agak untuk melepaskan pemain berusia 28 tahun itu pada jendela perpindahan akan datang.

 

 

Jika Obregon diletakkan dalam senarai pemain yang ditunjukkan jalan keluar, pihak pengurusan seperti sudah memiliki calon terbaik sebagai pengganti penyerang itu selepas baru-baru ini, timbul khabar angin mengatakan Jasir Asani bersedia untuk bersama JDT.

Khabar angin tersebut sekali lagi diperkuatkan apabila sebelum ini pemain kelab Korea Selatan, Gwangju FC itu memuat naik video memaparkannya berada di dalam gimnasium sambil menyarung jersi kelab Liga Super berkenaan.

Hantaran terbabit kemudiannya ditangkap layar penyokong pasukan Selatan tanah air itu yang menimbulkan spekulasi kononnya Jasir akan menyertai skuad Harimau Selatan pada jendela perpindahan nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram