Had pemain import: Kenapa hanya diberitahu MFL tatkala saingan Liga Super bakal berlangsung? — Afiq Rowley


  • Podium
  • Khamis, 10 Jul 2025

Pengurangan kuota pemain import disambut positif sebagai langkah memperkasa pemain tempatan. — Facebook/Sabahfc

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini membuat pindaan penting berhubung peraturan kuota pemain import yang dibenarkan beraksi di atas padang bagi musim 2025/2026.

Sebelum ini pada Mei lalu, MFL telah membenarkan setiap daripada 13 kelab bertanding mendaftar sehingga 15 pemain import, naik daripada 12 pada musim lalu.

Namun, daripada sembilan pemain import yang boleh didaftarkan pada hari perlawanan, hanya tujuh dibenarkan beraksi di atas padang dengan komposisi 4 terbuka, 1 Asia dan 2 Asean. Dua pemain lain akan berada di bangku simpanan.

BACA LAGI: Orang kuat Terengganu, NSFC yakin pengurangan kuota import bonus buat bintang lokal

BACA LAGI: Mula tunjuk belang, import Terengganu antara 3 rekrut sudah ledak gol pertama

Pengurangan pemain import di atas padang dilihat tidak akan menjejaskan kualiti liga. — Facebook/JST

Bagaimanapun, menerusi kenyataan terbaru pada Rabu, MFL mengumumkan kuota pemain import yang dibenarkan beraksi di atas padang dikurangkan daripada tujuh kepada enam pemain sahaja, dengan komposisi baru 4 terbuka, 1 Asia dan 1 Asean, manakala tiga lagi pemain import diletakkan di bangku simpanan.

Perubahan tersebut menyaksikan pengurangan seorang pemain import berstatus Asean beraksi di atas padang, tetapi kuota pemain import di bangku simpanan bertambah menjadi tiga.

Pemerhati sukan tempatan, Afiq Rowley menyambut baik keputusan tersebut kerana membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan untuk menunjukkan bakat mereka.

Namun, beliau juga melahirkan rasa pelik kerana pengumuman itu dibuat hampir menjelang bermulanya musim Liga Malaysia, yang bakal menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC bertemu di Piala Sumbangsih pada 8 Ogos di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

“Langkah ini baik kerana memberi ruang lebih besar untuk pemain tempatan beraksi, tetapi saya pelik kenapa pengumuman dibuat ketika liga hampir bermula,” katanya kepada Majoriti.

Pengurangan kuota pemain import oleh MFL membuka peluang besar kepada pemain tempatan untuk menyerlah dan membuktikan kemampuan mereka. — Facebook/TFC

Afiq juga percaya pengurangan pemain import tersebut tidak akan menjejaskan kualiti liga, sebaliknya memberikan peluang kepada setiap pasukan untuk memilih barisan terbaik mereka.

“Para pemain tempatan kini lebih berpeluang mempamerkan kualiti mereka dan cuba merebut tempat dalam pasukan kebangsaan,” tambahnya.

Bagaimanapun, Afiq berpendapat isu lain seperti tunggakan gaji dan masalah di luar padang lebih berpotensi menjejaskan mutu liga berbanding kuota pemain import.

"Saya tak melihat ini bakal menjejaskan kualiti liga. Sebaliknya ini peluang setiap pasukan untuk menampilkan barisan pemain terbaik mereka di atas padang.

"Apa yang jejaskan kualiti liga jika ada pasukan masih mengalami tunggakan gaji dan cerita tidak enak dari luar padang," tambahnya.

Keputusan terbaru berkenaan diharapkan dapat menyeimbangkan pembangunan pemain tempatan sambil mengekalkan daya saing Liga Malaysia pada musim akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram