
WAKIL Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa menerima hakikat pahit perjalanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite mereka terhenti selepas tewas tipis 0-1 kepada Buriram United dalam aksi timbal balik pusingan 16 pasukan pada Selasa.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu menyaksikan Hector Bidoglio menurunkan Arif Aiman Hanapi, Bergson da Solva, Jonathan Viera dan pemain baharu, Samu Castillejo di bahagian serangan.
Manakala, Buriram United mempertaruhkan bintang utama seperti Dion Cools, Guilherme Bissoli dan bintang Thailand mereka iaitu Suphanat Mueanta di bahagian sayap kanan serangan pasukan.
BACA LAGI: 'JDT-Selangor bersaudara', menang di SSI buka peluang bantu Gergasi Merah main di pentas ACLE
BACA LAGI: Paha berbalut ketika latihan, ramai doa peledak JDT segera sembuh turun gempur Buriram United
Babak pertama bermula dengan kedua-dua pasukan menampilkan permainan dengan intensiti tinggi apabila jentera serangan JDT mahupun Buriram kerap melakukan serangan bertali-arus ke gawang lawan.
Harimau Selatan hampir mendapatkan gol pertama pada minit pertama permainan namun jaringan dari Bergson dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana kedudukan penyerang Brazil itu ofsaid.
Keputusan seri pada babak pertama itu membuatkan penyokong berharap agar Bidoglio mengeluarkan Viera dan Castillejo, yang dilihat masih tidak mendapatkan rentak bersama Harimau Selatan lagi.
Posisi mereka dihara digantikan dengan dua pemain import berpengalamn Harimau Selatan iaitu Juan Muniz sebagai pemain tengah menyerang dan Heberty untuk beraksi di posisi sayap kiri pasukan di babak kedua nanti.
"Tukarlah Viera itu, tiada yang menarik pula tengok dia. Tolong masukkan Muniz dan Heberty. Dua-dua kaki shooting," kata penyokong JDT, Phy Da Us.
"Castillejo dan Viera tolong rehatkan," pendapat penyokong Harimau Selatan, Mhd Hffiz.
13 minit selepas separuh masa kedua berlangsung, Buriram mendapatkan gol pertama menerusi Mueanta apabila Harimau Selatan kehilangan bola di sebelah kanan hingga dimanfaatkan oleh anak-anak buah Osmar Loss.
Tambahan masa tujuh minit hampir mengubah keputusan perlawanan apabila pemain gantian, Jorge Obregon menjaring gol di minit terakhir sebelum penjaga garisan mengesahkan kedudukan penyerang Colombia itu ofsaid.
Keputusan 1-0 itu menyebabkan JDT terlepas peluang untuk melangkah ke suku akhir sekali gus memberikan Buriram United peluang selaku wakil tunggal dari Asia Tenggara dan bakal beraksi secara berpusat di Arab Saudi bermula 25 April ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram