
PENYOKONG Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tampil menyuarakan saranan agar pemilik semasa kelab itu, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengambil langkah berani untuk memiliki keseluruhan saham pasukan tanpa mengharapkan sebarang bantuan daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Pengikut KDA FC menyifatkan pengalaman yang menyaksikan pelbagai isu melibatkan pengurusan dan seharusnya dijadikan iktibar untuk memastikan kestabilan serta kelangsungan kelab bola sepak profesional tersebut.
Terdahulu, Berita Harian melaporkan Daud Bakar meluahkan kekecewaannya selepas ditinggalkan keseorangan dalam mencari jalan keluar daripada masalah kewangan yang dihadapi kelab Utara tanah air itu.
BACA LAGI: Jaga-jaga Selangor, Kedah-TFC ada sejarah import Thai 'flop' di Liga Super
BACA LAGI: Bekas import Kedah tak jadi gantung but, perkuat pendatang baharu divisyen utama Thai
Ia susulan tindakan beberapa individu yang menjadi pemilik bersama kelab itu menarik diri selain tindakan KFA membentuk pasukan baharu, Kedah FA untuk bersaing bersama KDA FC dalam Liga Semi Pro A1.
"Tidak apalah, sekarang ini Tan Sri kena beli beli semua saham. Jadi pemilik tunggal, yang hutang RM200,000 sebulan itu terus selesaikan semua. Tidak payah bagi KFA bayar," kata penyokong Kedah, Muslim AbdulAziz.
"Sudah-sudahlah Tan Sri. Bukalah buku baru, tidak payah harap lagi individu-individu itu. Jadikan semua ini pengalaman dan kenal yang mana-mana betul nak bersahabat masa susah dan senang," komen pengikut KDA FC, Mohd Hafiszul.
Daud Bakar dalam laporan itu menyatakan bahawa dalam situasi sukar yang sedang dihadapi, sepatutnya gabungan yang wujud sejak awal penubuhan pasukan terus kekal bersama-sama demi menyelamatkan dan membina semula pasukan dalam semangat kekeluargaan dan kebersamaan.
Pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar. — Facebook/KDAFC
Menurutnya, walaupun dari sudut perundangan tidak menjadi kesalahan untuk menubuhkan pasukan kedua, ketiga atau sebagainya tetapi semangat perpaduan seharusnya menjadi keutamaan.
Beliau turut meluahkan kekecewaannya sebagai seorang manusia kerana ketika berada dalam kesusahan, harapan pasti diletakkan kepada rakan-rakan atau ahli keluarga yang berkepentingan bersama sebagai pemegang saham untuk turut membantu.
Tambahnya, individu-individu tersebut telah menjadi pemilik bersama dan membentuk satu perkongsian strategik yang telah dibina sejak tahun 2021 hingga kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram