
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai venue gelanggang tuan rumah bagi pasukan Imigresen FC menjelang musim baharu saingan liga.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, sehingga kini pihak sekretariat badan berkenaan masih menunggu makluman rasmi daripada pihak pengurusan Imigresen FC meskipun telah menghubungi kelab itu lebih awal.
Menurutnya, MFL turut menyedari terdapat petunjuk bahawa Imigresen FC sedang berusaha menggunakan Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) di Kangar, Perlis sebagai lokasi tuan rumah, namun sekali lagi menegaskan tiada surat rasmi yang dihantar setakat ini.
BACA LAGI: KDA FC-Kedah FA usah khuatir, AFL keluarkan jadual secepat mungkin elak pertembungan
BACA LAGI: Izin kelab bawa masuk 3 import, AFL minta 3 bulan deposit gaji sebagai jaminan
“Buat masa ini, kita masih belum mendapat sebarang pemakluman rasmi daripada Imigresen FC. Kita masih menunggu. Sekretariat telah berhubung dengan Imigresen pada pagi tadi (Rabu).
“Dan kita dah mengingatkan Imigresen untuk segera memaklumkan venue-venue untuk pasukan Immigration FC. Belum lagi (nama venue diberikan), kita belum dapat makluman rasmi.
“Kita hanya dapat lihat hantaran-hantaran di sosial media. Nampak Imigresen ada usaha ke Stadium di Kangar Perlis. Tapi kita masih belum menerima apa-apa pemakluman rasmi daripada Imigresen FC,” katanya.
Mohd Shazli ditemui selepas sidang media selepas majlis Pelancaran Bola Rasmi dan Taklimat Liga A1-Semi Pro di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor pada Rabu.
Pendatang baharu Liga Super musim 2025/26, Imigresen FC dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan STSP di Perlis sebagai gelanggang rasmi mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Perkembangan itu muncul selepas kerajaan negeri Kedah melalui Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), menolak permohonan kelab itu untuk menggunakan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang tuan rumah.
Susulan penolakan tersebut, Imigresen FC yang berpangkalan di Lembah Klang kini mengalihkan perhatian mereka ke utara tanah air, dengan STSP dilihat sebagai antara pilihan yang paling realistik.
Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah.
Namun begitu, STSP yang berada di bawah pentadbiran Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis memerlukan kelab tersebut mendapatkan kebenaran rasmi sebelum dapat menjadikan stadium itu sebagai ‘home ground’ mereka.
Menurut laporan media, Pengarah MSN Perlis, Mohd Azraai Zain Tusimin mengesahkan bahawa beberapa wakil dari kelab berkenaan telah melakukan tinjauan teknikal ke atas kemudahan di STSP baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram