Ada rekod cedera 7 tahun tak main bola, kelab Kedah patut fikir dulu hasrat rekrut bekas import Selangor


  • Podium
  • Rabu, 25 Jun 2025

Forkey Doe salah satu import disayangi ketika menyarung jersi Selangor. — Facebook/Selangor

LIGA Malaysia (Liga M) tengah berehat menyaksikan pelbagai kelab aktif menganjurkan perlawanan persahabatan dengan menjemput semula bekas-bekas pemain mereka sebagai daya penarik penyokong menyaksikan aksi berkenaan.

Misalnya, sebelum ini dua pasukan bersejarah Liga M iaitu Kelantan FC dan Selangor FC mengadakan perlawanan amal tersebut di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada 21 Jun lepas. 

Perlawanan berkenaan berakhir dengan keputusan menyebelahi tuan rumah apabila barisan legenda The Red Warriors (TRW) menewaskan Ex Selangor dengan keputusan 4-3 usai tamat 90 minit permainan. 

BACA LAGI: 'Jadikan pengalaman', Daud Bakar dinasihatkan jadi pemilik tunggal KDA FC, usah harap bantuan KFA

BACA LAGI: Belum ada usaha selesaikan kewangan semasa KDA FC — Daud Bakar

Aksi tersebut bukan hanya mengimbau kembali memori legenda kedua-dua kelab itu, malah membuktikan kebanyakan pemain Selangor dan Kelantan masih mempunyai skil dan kualiti tersendiri. 

Lebih menarik apabila salah seorang legenda yang bermain pada perlawanan amal berkenaan didakwa bakal memeriahkan Liga M pada musim 2025/2026 dengan menyertai kelab Liga A1 Semi Pro. 

Pemain dimaksudkan ialah bekas penyerang Gergasi Merah, Francis Forkey Doe yang dikhabarkan akan menyertai kelab berpangkalan di negeri jelapang padi iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC atau Kedah FA. 

Saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 dilihat lebih meriah apabila disertai 16 pasukan dengan Kedah sahaja mewakili dua wakil iaitu bekas pasukan Liga Super, KDA FC dan Kedah FA, wakil Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA). 

Forkey Doe tidak berpeluang menjulang sebarang trofi bersama Kelantan dan Selangor.

Meskipun tiada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan kedua-dua pasukan mengenai kehadiran Forkey Doe namun ketibaannya agak membimbangkan susulan usia dan sejarah kecederaannya. 

Hal ini kerana, kali terakhir Forkey Doe bermain secara profesional pada 2018 iaitu ketika mewakili Pahang dan selepas itu, pemain dari Liberia berkenaan tidak aktif dalam bola sepak. 

Malah, pemain berusia 39 tahun tersebut juga mempunyai sejarah kecederaan bersama skuad Tok Gajah apabila dia mengalami kecederaan pada lutut kanan ketika perlawanan pusingan ketiga Piala FA bertemu Kedah pada kempen 2018. 

Forkey Doe (kiri) mengalami kecederaan serius di kaki kanan ketika menyarung jersu Pahang. — Facebook/SriPahang

Kecederaan itu menyaksikan Sri Pahang melepaskan khidmatnya dengan kontraknya ditamatkan melalui persetujuan bersama dan pemain berkenaan juga menerima pampasan. Kecederaan itu memerlukan Forkey Doe tempoh panjang untuk pulih. 

Dengan masalah kecederaan dan sudah tujuh tahun tidak bermain bola sepak profesional, kehadiran Forkey Doe dikhuatiri hanya membebankan daripada menguntungkan kelab Kedah berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram