'Stay true, stay Sang Kenari', KDA FC sertai Liga A1 bukan untuk muncul juara sekelip mata


  • Podium
  • Selasa, 17 Jun 2025

Skuad Sang Kenari akan beraksi dalam Liga A1 Semi Pro selepas disahkan penyertaan pada Isnin. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dalam satu kenyataan pada Selasa menyatakan usaha menyertai saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 merupakan usaha mengembalikan kelab ke landasan selepas hampir tiga tahun bergelut dengan isu pengurusan.

"KDA FC kini membawa semangat dan iltizam untuk membina semula kelab dengan lebih tersusun, realistik dan bebas daripada sebarang kepentingan selain memartabatkan bola sepak negeri Kedah.

"Segala usaha ini digerakkan atas semangat yang mendalam terhadap sukan bola sepak dengan fokus memastikan kestabilan kelab dari segi pengurusan, kewangan dan prestasi di atas padang di samping menjaga kebajikan pihak terlibat serta menyelesaikan perkara berbangkit," tulisnya.

BACA LAGI: Tiga lagi pasukan termasuk KDA, wakil Perlis sertai Liga A1, jadikan 16 kelab bertanding

BACA LAGI: Tinggalkan padang rumput, bekas penyerang sayap KDA-Kuching sertai skuad futsal KFA

Pada Isnin, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) memaklumkan KDA FC sudah diberikan lesen untuk beraksi dalam Liga A1 Semi Pro selepas sebelum ini, usaha kelab Utara tanah air itu masih dinilai.

Ini sekali gus menyaksikan sebanyak 16 pasukan akan berentap dalam kejohanan peringkat semi pro tersebut yang mana ia adalah peningkatan berbanding 15 pada edisi lalu.

Kehadiran kelab baharu, termasuk KDA FC dijangka mampu memeriahkan lagi saingan berkenaan memandangkan orang ramai akan teruja mengikuti perkembangan liga yang bersifat lebih kompetitif.

"Pihak kelab juga ingin memohon agar seluruh penyokong memahami bahawa penyertaan pertama KDA FC di Liga A1 ini bukanlah semata-mata untuk mengejar kejuaraan dalam sekelip mata.

Saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 bakal menyaksikan 16 pasukan bertanding. Facebook/AFL

"Keutamaan kami adalah membina asas kukuh agar kelab dapat bergerak lebih stabil dan mampan untuk jangka panjang. Pada saat getir ini, KDA FC amat mendambakan sokongan padu, ikhlas dan tanpa berbelah bahagi daripada seluruh penyokong Sang Kenari," tulisnya lagi.

Musim lalu, kelab Hijau Kuning itu mengalami kemelut pengurusan cukup serius sehingga memberi kesan buruk terhadap persembahan pasukan di atas padang dengan mereka menamatkan saingan di tangga ke-11 Liga Super.

Isu tersebut turut menyaksikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) enggan memberikan lesen kebangsaan buat pasukan terbabit untuk menyertai Liga Super 2025/26.

Jadi, keputusan skuad Sang Kenari merebut tempat dalam Liga A1 Semi Pro wajar dipuji kerana ia secara tidak langsung memberi ruang buat pasukan itu terus bersaing tanpa memerlukan kos operasi tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram