'Stadium Bandaraya home base Penang FC', peluang Imigresen tipis tapi tidak tertutup sepenuhnya berkampung di Utara


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Stadium Bandaraya merupakan 'home base' Penang FC yang sudah berdaftar secara rasmi dengan MFL. — Facebook/PerbadananStadiumPulauPinang

HASRAT Imigresen FC untuk menjadikan Stadium Darul Aman (SDA) sebagai gelanggang rasmi bagi saingan Liga Super 2025/26 tidak kesampaian apabila permohonan tersebut ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan bahawa stadium berkenaan perlu diutamakan untuk kegunaan pasukan dari negeri Kedah sahaja memandangkan ia satu-satunya venue rasmi yang dimiliki negeri itu.

“Pasukan dari luar tidak boleh menggunakan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang tetap kerana Kedah juga mempunyai pasukan sendiri dan hanya ada satu stadium,” katanya.

BACA LAGI: Keputusan Sri Pahang tarik diri persediaan untuk bangkit kembali — Jamal Nasir

BACA LAGI: 'Pergilah Pulau Pinang', Imigresen FC tak dibenar guna Stadium Darul Aman

Stadium Darul Aman merupakan antara venue paling dikenali selepas bertahun-tahun menjadi gelanggang skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

Susulan itu, Sanusi mencadangkan agar Imigresen FC mempertimbangkan venue lain yang lebih sesuai, antaranya Stadium Bandaraya di George Town atau Stadium Batu Kawan di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Namun begitu, jika Imigresen FC berhasrat menggunakan Stadium Bandaraya, ia dianggap sudah 'tertutup' kerana stadium itu merupakan gelanggang rasmi kepada Penang FC, dan telah pun didaftarkan secara rasmi dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Perkara itu disahkan oleh Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew yang menjelaskan bahawa sebarang urusan berkaitan penggunaan stadium perlu dirujuk terus kepada pihak Perbadanan Stadium.

“Sebagai Pengurus Besar Penang FC, semua pihak berhak menghubungi mana-mana perbadanan stadium. Namun, Perbadanan Stadium tidak berkait secara langsung dengan Penang FC.

"Adalah lebih baik berhubung dengan pihak Perbadanan Stadium. Stadium Bandaraya adalah 'home base' Penang FC yang telah didaftar secara rasmi dengan MFL," katanya kepada Majoriti.

Namun di sebalik kenyataan Jeffrey, Imigresen masih boleh menaruh harapan menggunakan stadium di Pulau Pinang memandangkan negeri itu memiliki sebuah lagi kemudahan iaitu Stadium Batu Kawan.

Ketika ini, Majoriti masih mendapatkan respons pihak perbadanan mengenai sama ada Imigresen FC ada cuba menggunakan salah sebuah stadium di Pulau Mutiara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram