
HARAPAN skuad bola sepak wanita kebangsaan untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia Wanita 2026 musnah selepas tewas 0-6 kepada pasukan pilihan, Korea Utara dalam aksi terakhir Kumpulan H yang berlangsung di Stadium Central, Tajikistan, pada Sabtu.
Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Joel Cornelli, Malayan Tigress menamatkan kempen kelayakan di tempat kedua kumpulan dengan enam mata hasil dua kemenangan ke atas Palestin dan Tajikistan.
Korea Utara pula membuktikan dominasi mereka di peringkat Asia apabila meledak enam gol, termasuk hatrik penyerang sensasi, Kim Kyong-yong. Tiga lagi jaringan disumbangkan oleh Kim Hye-yong, Myong Yu-jong dan Ri Hye-gyong.
Malayan Tigress tewas dengan keputusan 0-6 di tangan pasukan ranking kesembilan dunia. — FAM
Meskipun gagal ke pentas utama di Australia, Malayan Tigress tetap wajar diberikan pujian atas komitmen dan semangat juang yang ditampilkan sepanjang kempen kelayakan kali ini.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pencapaian skuad bola sepak wanita negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2026 sebagai antara yang terbaik setakat ini, walaupun tewas besar kepada Korea Utara dalam aksi terakhir kumpulan.
Menurut beliau, skuad kendalian Joel Cornelli masih menunjukkan kemajuan apabila berjaya mencatat dua kemenangan tipis ke atas Palestin dan Tajikistan, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan kedua kumpulan.
“Boleh dianggap pencapaian terbaik di saingan Kelayakan Piala Asia 2026. Tidaklah teruk, ada pencapaian walaupun tewas 0-6 kepada Korea Utara,” katanya kepada Majoriti.
Steffi Sarge Kaur (kiri) diberi tanggungjawab untuk memakai lilitan kapten dalam aksi bertemu Korea Utara. — FAM
Namun, Pekan menegaskan bahawa jarak prestasi antara Malaysia dan Korea Utara masih terlalu jauh, bukan hanya dari segi kedudukan ranking dunia semata-mata.
“Kita perlu akur 'level' kita masih terlalu jauh dengan Korea Utara. Bukan soal ranking sahaja tetapi dari pelbagai aspek permainan, kematangan taktikal, kelebihan teknikal pemain, kecergasan fizikal, serta kekuatan fizikal dan mental di atas padang.
“Kebijaksanaan mereka mengurus permainan turut menjadi perbezaan ketara,” katanya lagi.
Tambahnya, jika Malaysia serius mahu menyaingi pasukan-pasukan Asia lain yang telah melangkah ke pentas Piala Dunia seperti Filipina, Vietnam dan Thailand, banyak aspek asas perlu ditingkatkan dalam skuad wanita negara.
“Masih banyak ruang untuk digilap dan diperbaiki. Kita perlu perancangan jangka panjang yang tersusun jika mahu setanding dengan mereka,” ujar beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram