[VIDEO] Datuk asal utara Malaysia, bintang baharu JDT dijangka debut bersama Harimau Malaya di Piala CAFA


  • Podium
  • Isnin, 07 Jul 2025

Mendez yang beraksi dalam liga kedua Sepanyol akan menjadi pemain warisan baharu Harimau Malaya. — Instagram/NachoMendez

REVOLUSI Harimau Malaya diperluaskan lagi dengan khabar terbaharu menyatakan bahawa skuad kebangsaan bakal mendapatkan khidmat pemain tengah baharu iaitu Nacho Mendez dalam masa terdekat ini.

Berita gembira itu dikongsikan oleh pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam menerusi platform X miliknya yang mendakwa bahawa pemain berkenaan dalam proses akhir untuk mendapatkan kerakyatan.

BACA LAGI: Maaf Indonesia! Revolusi Harimau Malaya mula buahkan hasil, 'sparring' bertemu Iran-Uzbekistan

BACA LAGI: Usah negatif dengan JDT, kehadiran 'abang botak' ke Iskandar Puteri mudahkan urusan Peter Cklamovski 

"Bersedia untuk mewakili Harimau Malaya, difahamkan Nacho Mendez dalam proses akhir untuk dapatkan kerakyatan Malaysia sebagai pemain warisan negara sekaligus bakal beraksi untuk Piala CAFA (Piala Negara-Negara Asia Tengah).

"Atuknya lahir di Penang, merupakan campuran Cuba, Sepanyol dan Malaysia," kongsi Zulhelmi menerusi ciapan yang dimuat naik pada Isnin.

Sekiranya proses berjalan lancar, skuad kendalian Peter Cklamovski bakal mendapat satu lagi aset di bahagian tengah dengan kini Harimau Malaya sudah memiliki Hector Hevel, Nooa Laine, Stuart Wilkin dan Endrick Dos Santos.

Nama Mendez bukan baharu dalam kalangan penyokong tempatan susulan sebelum ini, dia dikaitkan dengan skuad Harimau Selatan bagi membantu memperkukuhkan saingan Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026.

Berdasarkan khabar angin terdahulu, JDT dilaporkan menawarkan kenaikan gaji sehingga empat kali ganda buat pemain tersebut yang sudah meninggalkan kelabnya, Sporting Gijon pada minggu lepas.

Pelaburan tersebut boleh dikatakan sesuatu yang cukup besar kerana juara bertahan Liga Super berkenaan akan membayar RM100,000 seminggu atau kira-kira RM450,000 setiap bulan.

Permintaan tersebut dikatakan sedia dipenuhi JDT kerana dalam laporan terbaru, kelab Selatan tanah air berkenaan difahamkan sudah berjaya mengikat pemain terbabit.

 

 

Menurut El Comercio pada Khamis, Mendez sudah menandatangani kontrak tiga tahun bersama JDT dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Meskipun tidak pernah meninggalkan negara kelahirannya, Nacho pasti tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dalam skuad Harimau Selatan yang dilimpahi lambakan bintang Sepanyol seperti Samu Castillejo serta pengendali baharu, Xisco Munoz.

Kehadiran pemain berusia 27 tahun itu juga akan menyaksikan pelbagai pilihan dimiliki di posisi berkenaan yang pasti membolehkan JDT memberi saingan lebih hebat dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram