
NEYMAR da Silva Santos Junior bukanlah nama yang asing dalam dunia bola sepak dunia.
Dia yang lebih dikenali sebagai Neymar Jr merupakan bintang bola sepak kebangsaan Brazil dan pemain prolifik yang pernah beraksi bersama kelab gergasi seperti Barcelona dan Paris Saint-Germain.
Pemain berusia 33 tahun itu bukan sahaja terkenal dengan skil gelecek luar biasa dan jaringan memukau, tetapi juga sering dikaitkan dengan aksi ‘berlebihan’ di atas padang ketika terjatuh atau dilanggar.
BACA LAGI: JDT labur RM15 juta, Sabah FC sempat menyelit miliki pemain termahal Liga Super
Aksi berguling-guling Neymar ketika Piala Dunia 2018, misalnya, pernah menjadi bahan jenaka global sehingga mencetuskan pelbagai meme dan parodi.
Fenomena 'Neymar roll' itu kemudiannya menjadi budaya sindiran dalam dunia bola sepak, malah turut ditiru oleh pemain lain sama ada sebagai gurauan atau taktik untuk menarik perhatian pengadil.
Terbaru, tular pula satu video memaparkan aksi seorang pemain amatur yang cuba menjual drama dengan berguling ala Neymar.
Namun cubaan tersebut nyata tidak menjadi apabila pengadil langsung tidak terpengaruh dan hanya mampu tersenyum.
Insiden melucukan itu dipercayai berlaku ketika satu perlawanan bola sepak amatur yang tidak dinyatakan lokasinya, tetapi pantas mencuri perhatian maya.
Klip berdurasi beberapa saat itu memaparkan seorang pemain kanak-kanak rebah di tengah padang sebelum berguling beberapa kali dengan gaya yang agak keterlaluan seolah-olah mengalami kecederaan serius.
Namun, reaksi spontan pengadil yang hanya tersenyum dan menunjukkan isyarat supaya permainan diteruskan mencuit hati ramai.
Rata-rata netizen terhibur dengan situasi tersebut, apatah lagi melihat pengadil langsung tidak melayan lakonan pemain itu.
Malah, beberapa penonton di tepi padang juga kedengaran ketawa kecil menyaksikan gelagat berlebihan tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna media sosial memberi reaksi pelbagai terhadap video itu. Ada yang menganggapnya sekadar hiburan ringan dalam perlawanan santai, namun tidak kurang juga yang menyindir tindakan 'berlakon' seperti itu sebagai tidak profesional, walaupun dalam liga amatur.
"Pengadil pun pun senyum kambing tapi yang baju merah kat dalam kotak gol itu betul-betul sakit kot, dari mula sampai akhir video macam itu sahaja," tulis @MichaelLwk sambil disertakan emoji ketawa.
"Berguru dengan Neymar. Bijak " kata @LanMakTeh.
Walaupun insiden itu tidak melibatkan mana-mana liga profesional, ia tetap membuktikan bagaimana budaya sukan, termasuk 'gaya Neymar', boleh memberi pengaruh besar kepada pemain di pelbagai peringkat.
Namun, seperti yang dibuktikan oleh pengadil dalam video berkenaan tidak semua drama boleh meyakinkan penonton, apatah lagi pegawai perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram