Kebajikan pemain lebih penting berbanding sejarah, harapnya Kedah-Perak bangkitlah perlahan-lahan — Zulakbal


  • Podium
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Dengan tiada ruang untuk rayuan yang diumumkan oleh MFL, Sang Kenari terpaksa akur tidak akan beraksi di Liga Super musim hadapan. — Facebook/KDAFC

PENGANALISIS sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim memuji tindakan tegas First Instance Body (FIB) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang tidak meluluskan permohonan Lesen Kebangsaan kepada dua kelab, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC.

Kedua-dua pasukan tersebut gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan apabila permohonan mereka tidak memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan Peraturan Perlesenan MFL, lapor MFL.

Justeru, Zulakbal menyifatkan keputusan yang telah dibuat oleh FIB itu adalah sangat tepat kerana tidak memberi peluang sewenang-wenangnya kepada pasukan yang tidak layak bersaing susulan aspek kewangan yang lemah.

BACA LAGI: Siapa lagi selain Brunei? MFL masih 'kunci mulut' jumlah sebenar kelab bertanding Liga Super

BACA LAGI: Bintang Liverpool tumpang bangga, pengendali Spurs tak sekadar cakap besar

Perak FC sah tidak beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan. — Facebook/PerakFC

Sudah tentu, ia satu kehilangan untuk melihat dua pasukan tersebut di pentas Liga Super musim depan apatah lagi Kedah dan Perak merupakan pasukan yang mempunyai sejarah besar dalam arena bola sepak tempatan, tetapi bagi beliau, kewangan yang kukuh adalah keutamaan bagi menjaga kebajikan pemain-pemain pada musim hadapan.

“Saya mendapati keputusan yang telah diumumkan FIB dan MFL untuk tidak memberikan lesen kepada Perak dan Kedah adalah satu keputusan terbaik apabila mereka telah secara rasminya tidak akan beraksi di Liga Super.

“Saya percaya keputusan itu dibuat selepas pertimbangan semasak-masaknya mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan terbukti dua kelab ini gagal untuk memenuhi kriteria.

“Jadi ini menunjukkan bahawa ketegasan pihak FIB dan MFL adalah bagus dan tepat membuat keputusan kerana kedua-dua kelab itu bukan sahaja tidak menghantar dokumen yang lengkap tetapi rekod mereka juga tidak baik apabila gagal melunaskan hutang-hutang lama.

“Apa yang saya harapkan pasukan Perak dan Kedah boleh bangkit semula dan perlahan-lahan mengorak langkah dengan perancangan lebih baik selepas ini,” jelasnya.

Terdahulu, MFL telah mengumumkan bahawa sejumlah 11 kelab Liga Super dan dua pasukan AFL A1 yang bertanding pada musim 2024-2025 telah berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan, sekali gus melayakkan mereka untuk bersaing dalam pertandingan Liga Super bagi musim 2025-2026.

Lapan kelab Liga Super MFL yang telah diberikan Lesen Kebangsaan oleh FIB ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.

Namun begitu, tiga kelab diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ adalah Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC mengikut artikel 8 (l) MFL CLR. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram