JDT bercita-cita besar sambar 'midfield' Sepanyol, sanggup tawar gaji hampir setengah juta ringgit sebulan


  • Podium
  • Sabtu, 14 Jun 2025

Skuad Harimau Selatan masih perlu dirombak memasuki musim baharu yang lebih mencabar. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PIHAK pengurusan Johor Darul Ta'zim (JDT) kelihatan cukup sibuk menjelang pembukaan jendela perpindahan Liga Super tidak lama lagi dengan beberapa nama terus dikaitkan.

Usaha berterusan diambil bagi mempersiapkan skuad Harimau Selatan yang akan sekali lagi berentap dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite 2025/26 dengan cita-cita lebih tinggi mula dipasang.

Selepas meloloskan diri ke pusingan kalah mati dalam edisi lalu, juara Liga Super itu pasti mahu sekurang-kurangnya layak ke suku akhir yang tidak pernah dicapai dalam sejarah kelab setakat ini.

BACA LAGI: Lawan jadi kawan, Terengganu, Selangor, JDT wajar sambar 'mimpi ngeri' masing-masing di pentas Asia

BACA LAGI: Bersinarnya Harimau Malaya, proses naturalisasi 3 pemain import termasuk bintang JDT bertambah sulit

Nacho yang berpengalaman di Sepanyol diharapkan mampu membawa nilai tambah buat skuad Harimau Selatan. Agensi

Jadi, dalam merealisasikan harapan itu, JDT dijangka membawa masuk lebih ramai pemain berpengalaman sekitar Eropah meskipun perlu membuat pelaburan besar-besaran.

Bagaimanapun, melihat kepada struktur kewangan kelab, ia bukanlah batu penghalang buat kelab Selatan tanah air itu kerana mereka dikenali dengan pasukan yang memiliki sumber kukuh sejak ditubuhkan lebih 10 tahun lalu.

Malah, berdasarkan khabar angin terbaru, JDT dilaporkan bersedia berbuat demikian demi mendapatkan pemain tengah, Nacho Mendez yang kini beraksi dalam liga bawahan Sepanyol bersama Sporting Gijon.

Usaha mendapatkan pemain berusia 27 tahun itu kelihatan cukup serius apabila pasukan tersebut dilaporkan menawarkan lonjakan gaji yang pasti sukar ditolak.

"Pemain tengah Sporting Gijon, Nacho Mendez menerima tawaran dari JDT yang dibarisi bintang seperti Jese, Jonathan Vieira dan Cristian Glauder serta beberapa lagi pemain Sepanyol.

Ciapan di laman X menyatakan Nacho Mendez menerima tawaran dari JDT untuk musim akan datang.

"Tawaran dibuat akan menyaksikan gajinya melonjak empat kali ganda. Kelab tersebut mahu menawarkan kontrak baharu kepadanya dengan kelab divisyen utama dan kedua Sepanyol turut dilaporkan berminat dengan khidmatnya," tulis wartawan di negara itu, Angel Garcia.

Berdasarkan informasi di laman sesawang Salary Sport, gaji Nacho Mendez ketika ini adalah £4,900 (RM28,260) setiap minggu dengan tawaran JDT mungkin mencecah lebih RM100,000 seminggu atau kira-kira RM450,000 setiap bulan.

Namun, skuad Harimau Selatan tidak perlu menebus kontrak pemain tersebut bersama kelab semasanya kerana kontraknya akan berakhir pada 30 Jun depan, sekali gus akan membuatkannya berstatus ejen bebas.

Ini membuktikan JDT bersungguh-sungguh dalam meningkatkan mutu pasukan memandangkan posisi tengah pasukan sudah dibarisi pemain hebat seperti Natxo Insa, Hong Wan dan Jalil Elias.

Setakat ini, Nacho Mendez tidak pernah meninggalkan Sporting Gijon sepanjang kariernya kerana turut merupakan graduan akademi kelab sejak diserap ke dalam skuad utama pada 2017. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram