
SEPERTI mana diramal peminat bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi kelab paling sibuk dengan aktiviti perpindahan selepas membawa masuk lambakan pemain baharu.
Usaha itu dibuat kerana skuad Harimau Selatan mahu memberi saingan terbaik di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite selepas perjalanan mereka pada edisi lalu terhenti di pusingan 16 pasukan.
Jadi, dalam usaha menambah baik persembahan pada edisi kali ini, jaguh Liga Super tersebut tampil membuat pelaburan besar-besaran dengan menandatangani beberapa import baharu seperti Antonio Glauder dan Jairo da Silva.
BACA LAGI: Bukan laluan Selangor saja berliku, Harimau Selatan juga perlu waspada 'jerat' kelab Singapura
BACA LAGI: Tano Solari buktikan diri di Amerika Selatan, bawa kelab mara ke pusingan kalah mati
Selain itu, JDT akan turut dibarisi beberapa pemain warisan musim depan selepas mengumumkan kehadiran Jon Irazabal, Hector Hevel serta Joao Figueiredo yang masing-masing sudah menyarung jersi Harimau Malaya sebelum ini.
Kehadiran mereka sudah tentu memberi nilai lebih baik buat pasukan tersebut kerana semua daripada mereka yang dibawa masuk mempunyai nilai pasaran mencecah ratusan ribu ringgit selepas berkelana di luar negara.
Namun, ramai pasti tidak menyedari bahawa perpindahan tersebut turut memberi impak memandangkan semua daripadanya meninggalkan karier di Eropah untuk menyertai JDT dalam Liga Super nilainya jauh lebih rendah.
Berdasarkan semakan di laman sesawang transfermarkt, nilai tiga rekrut baharu Harimau Selatan mula susut dengan satu-satunya cara untuk menaikkannya semula adalah sekiranya mereka mampu meletakkan semula nama di mata dunia.
1. Antonio Glauder
Rekrut pertama JDT bagi jendela kali ini merupakan bek tengah kelahiran Sepanyol, Cristian Glauder yang sah menyarung jersi kelab Selatan tanah air itu pada awal Jun lalu.
Pemain berusia 29 tahun tersebut dilihat sebagai pengganti sesuai kepada kapten, Jordi Amat kerana kedua-duanya memiliki pengalaman luas di Eropah sebelum berkelana ke Liga Super.
Rekod pasukan pernah diwakili pemain pertahanan JDT itu juga tidak kurang hebatnya kerana dia berpengalaman dalam divisyen kedua Sepanyol bersama kelab seperti SD Eibar dan Alaves selain pernah beraksi di Croatia selama semusim.
Nilai Glauder meningkat kerana majoriti kariernya dihabiskan di Sepanyol. — Agensi
Bagaimanapun, keputusannya untuk menyertai juara bertahan Liga Super itu menyaksikan nilainya susut sebanyak €200,000 (RM994,320) berbanding €900,000 (RM4.7 juta) pernah dicatatkan semasa bersama Cadiz CF.
Namun, penurunan sedemikian pernah dialami bek tengah berkenaan sebelum ini apabila laman sesawang sama meletakkan nilai pemain terbabit tidak lebih dari €600,000 (RM2.9 juta) sebelum dia perlahan-lahan menaikkannya semula.
2. Jairo da Silva
Meskipun sudah memiliki lambakan pilihan di posisi serangan, skuad Harimau Selatan turut membawa masuk penyerang dari Brazil, Jairo da Silva yang belum pernah beraksi di Asia sebelum ini.
Ini kerana sepanjang kariernya, pemain berkenaan lebih kerap beraksi di negara Balkan seperti PAOK dan PAS Giannina di Greece serta pasukan Croatia, Hajduk Split.
Jadi, perpindahan ke Selatan tanah air menyaksikan penyerang tersebut akan mencuba perkara baharu meskipun keputusan tersebut menyaksikan nilainya sedikit susut.
Jairo mencuba nasib di Asia dengan menyertai skuad Harimau Selatan. — Agensi
Berdasarkan kemas kini terbaru, nilai Jairo adalah hanya €900,000 (RM4.7 juta) yang meskipun masih tinggi, ia adalah penurunan ketara berbanding angka €1 juta (RM4.9 juta) ditetapkan sebelum perpindahan tersebut dimeterai.
Penurunan itu sudah tentu diharapkan tidak membuatkan keputusan JDT mendapatkan khidmatnya berakhir dengan sia-sia memandangkan pihak pengurusan hanya mendapatkan khidmatnya dengan misi mengurangkan beban dipikul Bergson di barisan hadapan.
Untuk rekod, sepanjang karier Jairo, nilai perpindahan tertinggi pernah diletakkan terhadapnya mencecah €2 juta (RM9.9 juta), iaitu semasa dia masih bersama Hajduk Split pada 2019.
3. Joao Figueiredo
Perpindahan paling mengujakan buat skuad Harimau Selatan bagi jendela kali ini sudah tentu selepas mereka berjaya membawa masuk Joao Figueiredo yang baru sahaja diangkat sebagai pemain warisan negara.
Dalam aksi debutnya menentang Vietnam, penyerang tersebut sudah mencetus kegembiraan kepada penyokong apabila aksinya menggelecek bola sukar diasak pihak lawan.
Sentuhan sedemikian akan disaksikan lebih kerap musim depan tatkala penyerang tersebut dijangka menjadi nadi utama JDT meskipun nilai pasarannya agak terjejas akibat perpindahan berkenaan.
Nilai pasaran Figueiredo sedikit susut selepas dia memilih untuk meninggalkan Eropah. — Agensi
Jika dilihat daripada angka ditetapkan pada Mac lalu, Figueiredo mencecah €2.1 juta (RM10.4 juta) kerana berada dalam prestasi terbaik bersama pasukan Turkiye, Istanbul Basaksehir.
Bagaimanapun, nilai diletakkan terhadapnya menurun €100,000 (RM497,160) memandangkan dia memilih untuk meninggalkan saingan bersifat kompetitif di Eropah untuk mencuba nasib di Asia.
Tetapi, jangan terkejut sekiranya penyerang Harimau Malaya itu dapat mendaki ke angka lebih tinggi sekiranya berjaya menjadi watak utama buat JDT, lebih-lebih lagi di pentas ACL Elite. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram