Lepas Nacho Mendes, bekas rakan sepasukan Man United disebut isi slot penyerang JDT


  • Podium
  • Ahad, 15 Jun 2025

Jairo mencuri tumpuan setelah muncul sebagai penjaring terbanyak dalam Cypriot First Division musim 2022–2023 bersama Pafos FC. — Agensi

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus dikaitkan dengan pemain baharu menjelang kempen 2025/2026 dengan terbaharu, Harimau Selatan berhasrat mahu mendapatkan pemain tengah, Nacho Mendez yang kini beraksi dalam liga bawahan Sepanyol bersama Sporting Gijon.

Usaha mendapatkan pemain berusia 27 tahun berkenaan kelihatan cukup serius apabila juara 11 kali berturut-turut Liga Super berkenaan dilaporkan menawarkan lonjakan gaji yang pasti sukar ditolak.

Memetik perkongsian dari wartawan Sepanyol, Angel Garcia di platform X menyatakan bahawa Harimau Selatan bersedia menawarkan gaji empat kali ganda daripada yang semasa kepada pemain tersebut.

BACA LAGI: JDT bercita-cita besar sambar 'midfield' Sepanyol, sanggup tawar gaji hampir setengah juta ringgit sebulan

BACA LAGI: Lawan jadi kawan, Terengganu, Selangor, JDT wajar sambar 'mimpi ngeri' masing-masing di pentas Asia

Nacho yang berpengalaman di Sepanyol diharapkan mampu membawa nilai tambah buat skuad Harimau Selatan. — Agensi

Berdasarkan informasi di laman sesawang Salary Sport, gaji Mendez ketika ini adalah £4,900 (RM28,260) setiap minggu dengan tawaran JDT mungkin mencecah lebih RM100,000 seminggu atau kira-kira RM450,000 setiap bulan.

Tidak cukup dengan khabar angin Mendez ke Harimau Selatan, JDT juga didakwa mahu membawa masuk penyerang baharu iaitu Jairo Da Silva, pemain yang kini beraksi dalam divisyen pertama Liga Cyprus iaitu Pafos FC.

Meskipun belum ada sebarang pengesahan mengenai kehadiran Jairo, ramai penyokong sudah mula mencari-cari info mengenai pemain yang sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Pafos FC pada Julai lepas itu.

1) Beraksi dalam tiga kejohanan Eropah

AS Trencin merupakan kelab Eropah pertama Jairo.  — Agensi

Jairo yang memulakan kariernya di Liga Brazil itu mengikuti langkah seperti pemain Brazil lain apabila merantau ke negara Eropah untuk menimba pengalaman dan mencipta portfolio yang kukuh sebagai pemain bola sepak.

Antara negara Eropah yang pernah menjadi rumah kedua Jairo adalah Slovakia ketika menyarung jersi AS Trencin, Croatia (HNK Hajduk Split), Greece (PAS Giannina, PAOK Thessaloniki), Moldova (FC Sheriff) dan Cyprus bersama kelab, Pafos FC.

Bukan hanya setakat bermain di peringkat domestik, malah Jairo juga mencipta pengalaman beraksi dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sebanyak dua kali ketika mewakili AS Trencin.

Bermain dalam saingan Liga Europa ketika menyarung jersi Thessaloniki, FC Sheriff, Hajduk Splitdan Pafos FC. Manakala, pengalaman beraksi untuk kejohanan Conference League pula diperoleh pada kempen 2024/2025 bersama Pafos FC.

Pengalaman bermain dan mencetak gol dalam saingan sebegitu rupa jelas memberi satu kelebihan buat Harimau Selatan yang mencari penyerang berkualiti untuk saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

2) Penjaring terbanyak Liga Cyprus

Jairo boleh disifatkan sebagai penyerang prolifik apabila pernah mencuri tumpuan setelah muncul sebagai penjaring terbanyak dalam Cypriot First Division musim 2022–2023 bersama Pafos FC dengan koleksi 18 gol.

Kehebatan Jairo dalam menjaringkan gol serta kemampuan teknikalnya pasti menjadi salah satu faktor JDT tertarik berikutan Harimau Selatan sentiasa mencari pemain bertaraf antarabangsa bagi memperkukuh skuad mereka untuk saingan domestik dan Asia.

Menarik mengenai pemain berusia 33 tahun itu, Jairo bukan hanya boleh beraksi sebagai penyerang tengah malah, kemampuannya bermain dalam pelbagai posisi serangan boleh memberikan fleksibiliti taktikal kepada barisan kejurulatihan.

Berdasarkan rekod beraksi dengan enam kelab, pemain berketinggian 1.81 meter berkenaan mencetak 111 gol dan merekodkan 76 jaringan bantuan. Jumlah tersebut boleh bertambah dengan menyertai Harimau Selatan.

Jika perpindahan itu direalisasikan, ia bukan sahaja akan memperkuatkan barisan serangan Harimau Selatan, malah turut meningkatkan kualiti keseluruhan Liga Malaysia.

3) Beraksi bersama bintang Man United

Berbatov pernah menyarung jersi Thessaloniki.  — Agensi

Dengan pengalamannya beraksi dalam saingan liga Eropah, pasti Jairo juga mempunyai kenangan beraksi dengan bintang terkemuka dan salah seorangnya ialah bintang Manchester United iaitu Dimitar Berbatov.

Berdasarkan laman sesawang Tranfermarkt, Jairo dan bekas penyerang The Red Devils dan Tottenham Hotspur berkenaan merupakan rakan sepasukan di PAOK Thessaloniki pada kempen 2015/2016.

Walaupun hanya bermain bersama dalam 10 perlawanan dengan Berbatov, pengalaman tersebut memberikan pemain tersebut pendedahan berharga dalam persekitaran kompetitif saingan liga Eropah.

Kemenangan besar yang direkodkan sepanjang Jairo bermain bersama Berbatov untuk Thessaloniki adalah ketika mereka menewaskan Panathinaikos dan PAS Giannina dengan keputusan 3-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram