Disokong JDT sertai kelab Lembah Klang, Syamer Kutty sedia bertarung demi rebut tempat Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 09 Jul 2025

Dalam tempoh latihan yang singkat bersama KL City FC, Syamer sudah menunjukkan impak positif dengan intensiti dan disiplin taktikal yang tinggi. — Facebook/KLCity

PEMAIN tengah bertahan kebangsaan, Syamer Kutty Abba nekad membuktikan dirinya masih layak berada dalam kelompok terbaik apabila memilih untuk menyertai Kuala Lumpur City FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi musim 2025.

Pemain berusia 27 tahun itu melihat perpindahan ke ibu kota sebagai peluang baharu untuk mendapatkan minit permainan yang konsisten dan peranan lebih besar di atas padang.

"Pihak JDT sendiri menyokong keputusan saya untuk menyertai cabaran Kuala Lumpur. Apabila saya dengar perancangan mereka, saya terus bersetuju. Ia satu cabaran baharu yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk merebut tempat,” katanya yang memiliki 42 kaps bersama Harimau Malaya.

BACA LAGI: Jangan tunggu lama-lama, 3 khabar angin termasuk Syafiq Ahmad masih belum dimuktamadkan

BACA LAGI: [VIDEO] Khalid Jamlus tak dapat tidur, terbayang momen arwah Firos hembuskan nafas terakhir

Namun, cabaran yang bakal dihadapi Syamer bersama The City Boys bukan calang-calang kerana posisi tengah Kuala Lumpur sudah pun dihuni nama-nama berpengalaman seperti Kenny Pallraj, Zhafri Yahya, Ryan Lambert dan Arif Syaqirin, selain dua pemain import dari Sepanyol yang dijangka menyertai pasukan dalam masa terdekat.

"Semua pemain tengah KL City ada kelebihan masing-masing. Saya tahu saya perlu berada pada tahap terbaik setiap hari untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama," jelasnya.

Matlamat utama Syamer adalah untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya, meskipun kini ramai pilihan pemain dalam skuad kebangsaan. — Facebook/KLCity

Dalam hanya lima hari sesi latihan bersama skuad ibu kota, kelibat Syamer sudah mula mencuri tumpuan, dikenali dengan intensiti permainan tinggi serta disiplin taktikal yang menjadi keistimewaannya sejak dahulu.

Menurut barisan kejurulatihan KL City, Syamer dilihat sebagai calon ‘enforcer’ di bahagian tengah, seorang pemain yang mampu mengawal tempo permainan dan mematahkan serangan pihak lawan, sesuatu yang mereka cari sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Namun bagi Syamer, matlamat utama tetap satu iaitu kembali menyarung jersi kebangsaan.

"Walaupun ramai pemain kacukan dan bakat baharu muncul di posisi tengah, saya percaya pengalaman dan kelaparan saya untuk berjaya masih memberi kelebihan. Untuk pasukan kebangsaan, saya sanggup lakukan apa sahaja demi peluang itu. Ia satu kebanggaan dan penghormatan," jelasnya. 

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu bukan asing dalam arena antarabangsa kerana dia sebelum ini merupakan sebahagian daripada skuad Malaysia yang menjulang Pestabola Merdeka 2024, menjadi naib juara Piala AFF Suzuki 2019 dan turut disenaraikan dalam Kesebelasan Terbaik kejohanan tersebut.

"Dalam hidup, kita tak boleh berhenti berusaha. Dalam bola sepak, sentiasa ada ruang untuk belajar. Di KL, saya mahukan minit permainan, saya mahukan perkembangan dan saya mahu berjuang untuk kembali ke skuad Harimau Malaya," ujarnya. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram