
DUA pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC bakal menggalas cabaran negara dalam Piala Shopee 2025 anjuran Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), selain turut bersaing di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Kejohanan yang memasuki edisi kedua itu mula mendapat perhatian selepas saingan kompetitif ditampilkan pada musim 2024/25, sekali gus membuktikan potensi besar kejohanan ini walaupun hanya melibatkan kelab-kelab dari Asia Tenggara.
Berdasarkan undian rasmi yang diumumkan pada Jumaat, Selangor FC berdepan cabaran getir dalam Kumpulan A apabila diundi bersama dua finalis musim lalu, Cong An Ha Noi (CAHN) FC dan Buriram United, selain BG Pathum United dari Thailand, Tampines Rovers (Singapura), serta pemenang playoff antara DH Cebu FC dan Kasuka FC.
BACA LAGI: Zii Jia hanya minat seni, bukan isyarat lain — Ketua Pengarah MSN
BACA LAGI: Keadaan tip-top bertaraf dunia, cuma 3 stadium tanah air sepi 'tak berpenghuni'
Hasil undian Piala Shopee 2025/26 yang meletakkan Selangor FC dan JDT dalam dua kumpulan berbeza. — Facebook/ASEAN United FC
Sementara itu, juara bertahan Liga Super, JDT diundi dalam Kumpulan B yang dilihat lebih seimbang.
Anak buah Xisco Munoz bakal menentang Bangkok United (Thailand), Nam Dinh FC (Vietnam), Lion City Sailors (Singapura), Svay Rieng FC (Kemboja), serta pemenang playoff antara Shan United dan Ezra FC.
Pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley berpendapat bahawa undian tersebut memberi kelebihan awal kepada JDT untuk layak ke pusingan kalah mati, manakala Selangor perlu bekerja lebih keras jika mahu bersaing hingga ke peringkat akhir.
"Saya nampak Selangor bakal hadapi laluan lebih mencabar kerana mereka bakal berdepan lawan seperti Buriram United. Sementara JDT berpotensi untuk melepasi peringkat kumpulan,” katanya kepada Majoriti.
CAHN FC dan Buriram United yang beraksi di final Piala Shopee musim lalu akan memberi cabaran kepada Selangor FC.
Afiq turut menyenaraikan Buriram United dan BG Pathum United sebagai ancaman utama buat Selangor, manakala JDT perlu berwaspada terhadap wakil Singapura, Lion City Sailors, yang memiliki barisan pemain berkualiti tinggi.
"Nama kelab yang saya sebut ini ada material pemain berkualiti tinggi, jadi mereka bukan boleh dipandang ringan,” jelasnya.
Namun begitu, Afiq optimis kedua-dua pasukan memiliki kekuatan dan keseimbangan dalam skuad untuk bersaing di peringkat serantau, bergantung kepada tahap konsistensi dan kecerdasan taktikal jurulatih masing-masing.
"Dari segi skuad, kedua-duanya sudah cukup seimbang. Sekarang bergantung pada konsistensi dan bagaimana jurulatih mengatur strategi dalam setiap perlawanan penting nanti,” tambahnya.
Piala Shopee 2025 sekali lagi menjadi pentas penting buat kelab Malaysia membuktikan kemampuan mereka dalam kancah bola sepak Asia Tenggara, dan penyokong tempatan kini menaruh harapan tinggi kepada JDT dan Selangor untuk membawa cabaran negara ke peringkat lebih jauh.—Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram