
MESKIPUN hanya semusim berkhidmat bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), nama Esteban Solari masih mekar di bibir penyokong yang cukup terkenang akan sentuhannya sepanjang 2023.
Ini kerana pengendali kelahiran Argentina itu berjaya mendominasi arena bola sepak tanah air menggunakan gaya permainan dimanik sehingga sukar disaingi mana-mana pasukan tempatan.
Bagaimanapun, pada penghujung kempen, Tano Solari secara tiba-tiba meninggalkan skuad Harimau Selatan dengan keputusan tersebut menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan peminat.
BACA LAGI: Tak jadi sertai revolusi HM, Tano Solari sebaliknya dilantik pengarah teknikal kelab Argentina
BACA LAGI: Tak sertai revolusi Harimau Malaya, Esteban Solari sah milik Club Godoy Cruz
Solari menimmati momen cukup baik sepanjang setahun berkhidmat bersama skuad Harimau Selatan. — Instagram/Esteban Solari
Berdasarkan penjelasan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai pemilik kelab, punca perpisahan kedua-dua pihak adalah disebabkan permintaan gaji yang terlalu tinggi iaitu mencecah $400,000 (RM1.7 juta) setahun.
Jadi, dengan JDT tidak dapat menampung perbelanjaan sebesar itu, Solari kemudian mengambil keputusan pulang ke Amerika Selatan untuk mengendalikan kelab Chile, Everton del Mar.
Namun, tempoh perkhidmatannya di pasukan tersebut tidak berkekalan lama kerana pada Februari lalu, jurulatih berusia 44 tahun itu pulang ke negara kelahirannya untuk membimbing Godoy Cruz.
Keputusan itu sedikit merunsingkan kerana kelab terbabit berada dalam prestasi agak mengecewakan sehingga penyokong Harimau Selatan beranggapan Solari menurunkan standardnya di benua tersebut.
Solari dilantik sebagai pengendali Godoy Cruz pada Februari lalu. — Agensi
Tetapi, baru-baru ini, pengurus tersebut mematahkan pandangan serong terhadapnya setelah membantu Godoy Cruz melangkah ke pusingan kalah mati dalam saingan Copa Sudamericana.
Pertandingan yang setaraf Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two itu menyaksikan kelab bimbingan Solari berada di kedudukan teratas Kumpulan D yang turut mengandungi Gremio (Brazil), Atletico Grau (Peru) dan Sportivo Luqueno (Paraguay).
Kejayaan tersebut dikongsikan bekas pengendali JDT terbabit di laman Instagram peribadinya dengan mengatakan pencapaian itu diraih menerusi usaha bersama daripada semua pemain.
"Kita mencapai sasaran pertama dengan usaha hebat dan terus bersama-sama, kami amat teruja dengan satu lagi kemenangan di tempat lawan dalam kejohanan peringkat antarabangsa.
"Secara peribadi, saya amat gembira dengan penampilan pertama buat dua pemaia. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan bersama-sama sepanjang perjalanan ini," tulisnya.
Godoy Cruz mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati Copa Sudamericana menerusi kemenangan ke atas Sportivo Luqueno, sekali gus mengesahkan tempat dalam peringkat 16 pasukan terbaik.
Sekiranya Solari dapat membantu pasukan tersebut ke suku akhir pertandingan, ia akan melakar detik baharu dalam sejarah kelab kerana mereka tidak pernah berganjak sejauh itu sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram