
ARENA bola sepak tanah air sekali lagi dikejutkan dengan pemergian legenda Pulau Pinang, Firos Mohamed, 53, yang rebah ketika beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, Sabtu lalu.
Allahyarham dilaporkan rebah secara tiba-tiba ketika perlawanan membabitkan pasukan legenda Pulau Pinang menentang legenda Kedah, sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian.
Insiden itu bukan sahaja mengejutkan rakan sepasukan dan penyokong, malah mencetuskan kebimbangan mengenai aspek keselamatan perubatan dalam kejohanan melibatkan pemain serta perlawanan pertunjukan bola sepak.
BACA LAGI : Ex-striker Sabah tiada rezeki di Vietnam, 3 kelab termasuk Kuching City boleh jadi majikan baharu
BACA LAGI : [VIDEO] Kiper legenda Penang meninggal dunia, rebah ketika aksi 4 penjuru Legend All Star di Manjung
Tragedi berkenaan turut menghangatkan semula perbincangan dalam kalangan komuniti sukan mengenai keperluan menyediakan peranti defibrilator luaran automatik (AED) di setiap venue sukan, termasuk kejohanan sosial dan perlawanan amal.
Malah pemain legenda Perak, Khalid Jamlus Khalid turut mempersoalkan tahap kesiapsiagaan pasukan perubatan dan berharap agar pada masa akan datang, pihak penganjur lebih bersedia menghadapi kecemasan seperti itu.
"Kami hanya hamba ALLAH yang sentiasa berserah kepada ALLAH, malam itu juga saya berfikir adakah persediaan paramedik dan juga mereka di situ lambat menyelamatkan beliau.
"Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya, bantuan dari AED juga digunakan sebanyak dua tiga kali ketika itu, ALLAHUAKBAR tapi di sini saya mohon sangat di masa yang akan datang mohon jika ada seorang doktor juga disediakan demi menyelamatkan seorang insan yang sedang bertarung nyawa," ujarnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seorang wanita yang cuba menyelamatkan arwah menggunakan AED namun menegaskan bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Ilahi.
"Terima kasih juga kepada seorang kakak yang cuba menyelamatkan beliau dengan pengalaman yang dia ada menggunakan bantuan sistem AED itu. Tapi semuanya kehendak Ilahi.
Ketiadaan akses segera kepada AED dipercayai menjadi antara faktor yang mengurangkan peluang mangsa untuk diselamatkan.
Untuk makluman, penggunaan AED dalam tempoh lima minit pertama selepas serangan jantung mampu meningkatkan kadar kelangsungan hidup mangsa.
Kematian Firos Mohamed itu juga menambah senarai pemain bola sepak yang rebah ketika beraksi, termasuk tiga insiden terdahulu membabitkan nama-nama besar bola sepak negara:
1. Ishsam Shahruddin ( Februari 2025)
Ishsam (gambar kecil) meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya.
Bekas pemain kebangsaan dan legenda skuad Seladang, Ishsam Shahruddin, meninggal dunia pada usia 59 tahun selepas dipercayai mengalami serangan jantung.
Kejadian itu berlaku ketika Ishsam yang juga legenda skuad Seladang mewakili Perak dalam perlawanan Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang, Februari lalu.
Allahyarham rebah ketika beraksi di Stadium Bandaraya dekat George Town, Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang.
2. Mohamad Solihin Mahamad (September 2020)
Mohamad Solihin Mahamad meninggal dunia ketika berusia 24 tahun. — Gambar/Facebook Penyokong TCFC
Bekas pemain Terengganu City FC (TCFC), Mohamad Solihin Mahamad, 24, rebah ketika aksi persahabatan antara Gong Parit FC dan Tualang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Allahyarham sempat menerima rawatan kecemasan dan dirawat selama tiga hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), namun disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung kali kedua.
3. David Faramola Aniya (2015)
Tragedi yang menimpa David menjadi antara kes awal yang membuka mata orang ramai terhadap risiko serangan jantung. — Agensi
Pemain import Terengganu-Team (T-Team) dari Nigeria, David Faramola Aniya, 30, meninggal dunia ketika perlawanan persahabatan menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV dekat Kota Bharu, Kelantan.
David rebah pada minit ketiga perlawanan sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu namun tidak dapat diselamatkan.
Tragedi yang menimpa David itu juga menjadi antara kes awal yang membuka mata orang ramai terhadap risiko serangan jantung dalam sukan profesional.
Susulan itu, pemergian empat pemain tersebut seharusnya menjadi peringatan tegas kepada semua penganjur kejohanan dan pihak berkepentingan dalam dunia sukan agar memberi perhatian serius terhadap penyediaan kemudahan perubatan di venue perlawanan.
Penyediaan AED sebagai kelengkapan asas di setiap lokasi sukan bukan hanya dalam perlawanan profesional tetapi juga acara sosial dan persahabatan perlu dijadikan keutamaan demi keselamatan semua pemain.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram