Tak selincah dulu, JDT buat keputusan bijak hantar Safawi Rasid ke KL City


  • Podium
  • Khamis, 03 Jul 2025

Safawi pernah diangkat sebagai tonggak utama skuad Harimau Selatan sebelum kehilangan tempat dalam pasukan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SELEPAS beberapa bulan dikaitkan dengan pelbagai spekulasi, masa depan Safawi Rasid akhirnya terjawab apabila dia disahkan menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC bagi musim 2025/26.

Dia menyertai kelab Lembah Klang itu secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) bersama dua lagi rakan sepasukan, Manuel Hidalgo dan Syamer Kutty Abba yang sudah tentu merancakkan lagi arena bola sepak tempatan.

Ini kerana kehadiran Safawi bersama skuad Warga Kota akan menjadikan mereka salah sebuah pencabar utama bagi kempen akan datang selepas satu musim hambar akibat isu pengurusan.

BACA LAGI: Safawi Rasid sah ke KL City, Manuel Ott turut dipetik sekali

BACA LAGI: Safawi ada 'wow factor' berbanding 2 lagi calon pikat Sabah ganti Saddil

 

Safawi diumumkan akan menyertai skuad Warga Kota secara pinjaman dari JDT. Facebook/KL City FC

Momentum cemerlang dipamerkan penyerang sayap negara itu sepanjang dipinjamkan ke Terengganu FC musim lalu turut menceritakan apakah yang boleh dibawa untuk membantu pasukan tersebut bagi saingan akan datang.

Bagaimanapun, di sebalik kariernya yang sudah kembali ke landasan, ada pula berpandangan Safawi sudah kehilangan tempat dalam JDT kerana ini merupakan musim ketiga dia dipinjamkan secara berturut-turut.

Ini kerana sebelum menyertai skuad Sang Penyu, pemain berusia 28 tahun berkenaan terlebih dahulu dihantar ke Thailand untuk menyertai Ratchaburi FC pada pertengahan musim 2023.

Semua keputusan demikian sememangnya membuatkan ramai berpandangan penyerang tersebut sudah tidak lagi diperlukan skuad Harimau Selatan selepas pernah menjadi watak utam pasukan pada awal kariernya.

Namun, bagi pemerhati bola sepak tanah air, Afiq Rowley, keputusan JDT melepaskan pemain terbabit adalah yang terbaik buat kesemua pihak, termasuk buat Safawi yang dapat meneruskan rentak dicatatkannya musim lalu.

Safawi menghabiskan musim 2024/25 secara pinjaman bersama skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

"Bagi saya, benar untuk katakan tempatnya dalam JDT sudah kehilangan, tetapi kelab itu juga bijak untuk tidak membuatkan Safawi terus tenggelam dan memastikannya kekal relevan. Buktinya, musim lepas dia menyerlah buat Terengganu," katanya kepada Majoriti.

Sepanjang berada di Pantai Timur bagi kempen yang lalu, pemain terbabit mencatatkan 13 gol dan tiga bantuan jaringan daripada 31 penampilan dalam semua kejohanan di peringkat kelab.

Ia merupakan antara pulangan terbaiknya selepas bermusim-musim kehilangan rentak bersama skuad Harimau Selatan dengan penyokong sememangnya teruja untuk melihatnya kembali ke prestasi terbaik.

Ketika ditanya mengenai kebolehan penyerang tersebut mengulangi pencapaiannya bersama KL City FC, Afiq menyatakan perkara itu hanya boleh diputuskan melihat kepada pendekatan pihak kejurulatihan menggunakannya dalam pasukan.

"Safawi sudah tidak selincah atau sepantas dahulu. Bagi saya, perkara itu hilang apabila dia pulih daripada kecederaan, tetapi sentuhannya masih berbisa dan sepakan bebas Safawi masih antara terbaik dalam kalangan pemain tempatan.

"Namun, kita perlu lihat juga bagaimana pendekatan barisan kejurulatihan KL City dan bagaimana persefahamannya bersama rakan sepasukan lain. Namun, saya amat harapkan momentun Safawi musim lalu dikekalkan," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram