Semua pihak harus bersabar, faham keputusan Lee Zii Jia tarik diri Terbuka Jepun


  • Podium
  • Isnin, 07 Jul 2025

Lee Zii Jia sah menarik diri daripada kejohanan badminton Terbuka Jepun 2025. — Agensi

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sah menarik diri daripada kejohanan badminton Terbuka Jepun 2025 yang berlangsung di Tokyo dari 15 hingga 20 Julai ini.

Perkembangan terkini itu dipaparkan di laman sesawang Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang memaklumkan pemain berusia 27 tahun itu tidak akan beraksi dalam kejohanan tersebut.

Namun, sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada Team LZJ berhubung penarikan diri berkenaan..

BACA LAGI: Zii Jia hanya minat seni, bukan isyarat lain — Ketua Pengarah MSN

BACA LAGI: Ada 3 sebab perpindahan Safuwan Baharuddin ke Lion City Sailors bawa rahmat

Zii Jia sebelum ini mengalami kecederaan buku lali ketika Pusingan Akhir Jelajah Dunia pada Disember lalu

Beliau kembali bertanding pada Mac di Orleans Masters, tetapi terkandas di suku akhir selepas tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen dengan keputusan 21-23, 7-21.

Zii Jia seterusnya beraksi dalam kejohanan Seluruh England di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac, namun tersingkir pada pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long dengan keputusan 21-19, 16-21, 12-21.

Pemain ranking kelapan dunia itu kemudian menarik diri daripada Terbuka Switzerland di Basel dari 18 hingga 23 Mac lalu akibat kecederaan buku lali yang dialaminya. 

Di ruangan komen, ramai peminat meluahkan sokongan dan semangat agar Zii Jia dapat menenangkan fikiran serta memberi fokus kepada pemulihan kecergasan.

“Proses pemulihan kecergasan ini mungkin buat dia stres dan mesti ikut arahan doktor, kalau tidak nanti Lee Zii Jia yang akan susah sendiri, harap dia kena bersabar,” kata Chealwin Klyon Manzc.

“Awak jaga diri baik-baik Zii Jia, berehat dulu, pergi bercuti dan tenangkan fikiran,” kata Kai Jojo.

“Mungkin kecederaan buku lalinya belum mengizinkan untuk kembali ke gelanggang lagi, kena sabar semua,” tambah Cahaya Annisa Adelia.

Sebelum ini, industri sukan tanah air dikejutkan dengan hantaran misteri yang dibuat Zii Jia menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan bahawa pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mungkin sedang menghadapi masalah kesihatan peribadi atau mental. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram