
AKSI hari kedua Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025 menyaksikan persaingan semakin sengit dengan beberapa pasukan mula mengukuhkan dominasi dalam saingan peringkat kumpulan yang berlangsung di padang keramat Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak pada Sabtu.
Antara yang mencuri tumpuan termasuk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), tuan rumah Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn (THOR) apabila mencatatkan kemenangan bergaya.
Dalam Kumpulan A, SSTMI membuktikan status mereka sebagai juara bertahan apabila meraih tiga kemenangan bersih.
BACA LAGI : MCKK Premier 7s: Tuan rumah, SMK Hosba antara pasukan raih kemenangan bergaya aksi hari pertama
BACA LAGI : 'Semua berpotensi juara', MCKK Premier 7s kumpul 24 pasukan, standard edisi ke-13 semakin tinggi
Sekolah itu membuka langkah dengan menewaskan SMK Belara 19-12, sebelum membenam MRSM Balik Pulau 36-7 dan menutup saingan kumpulan dengan kemenangan bergaya 31-0 ke atas SMK Hosba.
Manakan tidak, dengan 86 mata dijaringkan dan hanya 19 mata dibolosi, SSTMI jelas bersedia mempertahankan mahkota kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
Kumpulan B pula menjadi pentas dominasi penuh SSMP yang menampilkan kekuatan luar biasa apabila tidak dibolosi langsung dalam tiga aksi kumpulan.
Barisan pemain beraksi Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025 pada Sabtu.
SSMP mencatat kemenangan 19-0 ke atas Kolej Vokasional Arau, membelasah STAR Ipoh 48-0 dan menundukkan EC 34-0 – sekaligus menjadi antara pencabar utama untuk merebut Piala NJ Ryan.
Tuan rumah MCKK pula enggan mengecewakan penyokong sendiri apabila mengungguli Kumpulan C dengan persembahan mantap.
Mereka menewaskan INTEK 31-0, membelasah SMAD 69-0 dan menumpaskan SMS Faris Petra 39-5. Skuad The Malay College muncul sebagai antara pasukan paling menyerlah setakat ini dengan kutipan mata tertinggi iaitu 139 mata dan hanya lima mata dibolosi.
Kumpulan D turut mencuri perhatian apabila Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga (ARAS) membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap jadual apabila mencatatkan tiga kemenangan termasuk menewaskan RMC 26-0 dan SEMSIRA 45-5.
SMK King Edward VII (KE VII) pula menduduki tempat kedua kumpulan meskipun mencatat dua kemenangan selepas tunduk kepada ARAS.
Aksi Kumpulan E menyaksikan THOR tampil garang apabila membenam Vajiravudh College (VC) dari Thailand 27-0.
Antara aksi perlawanan menarik Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025 pada Sabtu.
Mereka turut menjaringkan keseluruhan 132 mata dalam tiga perlawanan, menjadikan mereka antara pasukan paling produktif kejohanan ini.
VC pula menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua selepas tewas kepada THOR.
Sementara itu, satu lagi wakil antarabangsa, Shizuoka Seiko Academy (SSA) dari Jepun, turut memperlihatkan kematangan taktikal apabila mengungguli Kumpulan F dengan tiga kemenangan bersih.
Antara mangsa mereka termasuk Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dan SMK Telok Mas (AKRAM).
SMK Victoria (VI) pula muncul sebagai pencabar utama dalam kumpulan tersebut dengan dua kemenangan.
Dengan kejohanan memasuki fasa penentuan pada hari terakhir pada Ahad, saingan peringkat Cup dan Plate dijangka menjadi pentas sebenar buat pasukan-pasukan terbaik memburu kejuaraan.
Tumpuan utama kini terarah kepada SSTMI, SSMP, MCKK dan THOR yang tampil sebagai pasukan paling konsisten setakat ini.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram