'Semua berpotensi juara', MCKK Premier 7s kumpul 24 pasukan, standard edisi ke-13 semakin tinggi


  • Podium
  • Khamis, 26 Jun 2025

MCKK Premier 7s tidak pernah terlepas menyajikan aksi mendebarkan buat peminat.

KEJOHANAN Ragbi Premier 7s anjuran Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kembali bagi edisi ke-13 yang bakal menyaksikan sebanyak 24 pasukan tampil merebut gelaran.

Pertandingan yang diadakan bagi menyemai bakat muda dalam sukan tersebut sememangnya dinanti-nantikan peminat yang enggan terlepas melihat aksi pemain seawal di bangku persekolahan.

Seperti kebiasaan, lambakan sekolah ternama berada dalam senarai termasuk juara bertahan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), SMK Jalan Tiga dan tuan rumah sendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Setiap kesilapan merugikan’, coach MCKK akui saingan SSR 2025 makin mencabar

BACA LAGI: PIBG MCKK selar tindakan keluarga murid tularkan kes buli dakwa burukkan imej sekolah

MCKK Premier 7s sudah tentu dinantikan peminat sukan ragbi dari seluruh negara.

Lebih menarik lagi, bagi edisi kali ini, MCKK Premier 7s akan disertai empat pasukan dari negara luar iaitu Serevi Rugby Academy (Fiji), Shizuoka Seiko Academy (Jepun), SMA Darunnajah (Indonesia) dan Vajiravudh College (Thailand).

Pengarah kejohanan, Asri Rafai' berkata, kelainan ditampilkan untuk penganjuran ke-13 apabila terdapat beberapa sekolah baharu bertanding yang pasti membawa kemeriahan mendebarkan.

"Sebagai contoh, kita saksikan penyertaan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan pasukan dari Fiji selain harapnya kita dapat bawakan tarikan baharu dengan mengadakan perarakan kereta semi-klasik.

"Sebenarnya, fokus utama kita adalah untuk pasukan tempatan dan empat pasukan jemputan itu supaya menjadi tarikan bagi pasukan tempatan merasai pengalaman berharga itu," katanya.

Sekitar majlis pelancaran kejohanan yang berlangsung di ibu kota pada Khamis.

Pada penganjuran tahun lalu, SSTMI menumpaskan SMK Jalan Tiga menerusi keputusan 36-5 yang menyaksikan pasukan dari Johor itu menjuarainya buat kali kelima sejak menyertai pada edisi sulung.

Menyedari kejayaan tersebut, MCKK sudah tentu mahu memberi tentangan lebih hebat, lebih-lebih lagi selepas mereka hanya menjuarai pertandingan itu sebanyak sekali setakat ini.

"Dahulu, tidak banyak yang terlibat tetapi selepas 13 tahun dianjurkan, semakin banyak sekolah menaikkan standard dan semua pasukan berpotensi muncul juara ketika ini.

"Saya melihat ia sebagai cabaran apabila kita belum dapat menjuarainya lebih kerap, tetapi kita nampak kejohanan ini naik ke standard lebih tinggi," katanya lagi.

Kejohanan berkenaan akan berlangsung dari 4 hingga 6 Julai depan di MCKK Rugby Grounds yang dijangka menyaksikan kemeriahan dari pelajar, peminat dan ibu bapa yang enggan melepaskan peluang menyaksikannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram