Terlalu awal kata Zii Jia hadapi kemurungan, peminat perlu main peranan bagi sokongan — Pakar psikologi


  • Sihat
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Hantaran Instagram Zii Jia mencetuskan tanda tanya dalam kalangan masyarakat selepas dia memuat naik beberapa lakaran gambar pada Khamis. — Instagram/Zii Jia

HANTARAN berunsur ilustrasi surrealisme yang dimuat naik jaguh badminton negara, Lee Zii Jia di Instagram baru-baru ini tidak semestinya mencerminkan kemurungan, namun wajar dijadikan isyarat awal kepada tekanan emosi yang sedang dihadapinya.

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd Saad, gambar yang dikongsikan itu jelas sarat dengan elemen simbolik seperti kepala berlubang, luka berdarah dan jarum yang menusuk kepala.

"Dalam erti kata lain, gambaran visual gelap itu juga menggambarkan kekosongan atau konflik dalaman.

BACA LAGI: Hantaran ‘misteri’ Zii Jia cetus tanda tanya, ada kaitan tanda-tanda kemurungan

BACA LAGI: [VIDEO] Di sebalik tragedi Juliana Marins, pendaki wanita Malaysia rupanya turut membantu misi SAR guna dron

"Gambar sebegitu bukan sekadar untuk ‘estetik’, sebaliknya boleh menjadi cara simbolik untuk menyampaikan tekanan atau kekalutan fikiran.

"Ia bukan petunjuk pasti kepada kemurungan, tetapi cukup untuk kita beri perhatian,” katanya kepada Majoriti.

Tambah Dr. Fauziah, walaupun hantaran itu tidak disertakan dengan sebarang keterangan oleh Zii Jia, namun ia wajar mengundang keprihatinan ramai termasuk peminat yang memberikan komen berbentuk sokongan dan kebimbangan.

"Diagnosis kemurungan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan satu gambar. Ia perlu dinilai secara klinikal oleh doktor atau psikiatri," ujarnya.

Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad

Tambah beliau lagi, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan pemain itu mengalami kemurungan.

"Berkemungkinan Zii Jia hanya memuat naik gambar itu kerana seni yang diminatinya.

"Jangan mudah membuat kesimpulan atau membuat spekulasi tertentu. Seni itu sendiri luas," katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan tekanan daripada luar seperti kecaman media, prestasi menurun serta konflik dengan badan induk sebelum ini boleh menjadi faktor menyumbang kepada beban emosi pemain berusia 27 tahun itu.

"Atlet seperti Zii Jia berada dalam tekanan tinggi jangkaan penyokong, keinginan diri sendiri untuk berjaya, dan pengaruh media.

"Apabila harapan itu tidak tercapai, ia boleh memberi kesan kepada kestabilan emosi," katanya.

 

 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Zii Jia diberikan ruang untuk menjalani kehidupan normal.

"Atlet juga perlu diberikan waktu rehat mental dan fizikal, selain sokongan moral daripada keluarga, jurulatih dan komuniti peminat.

"Pada masa sama, peminat dan media juga perlu memainkan peranan yang penting. Zii Jia sendiri sudah berusaha dalam mengharumkan nama negara," katanya.

Tegas beliau lagi, dalam era di mana kesihatan mental atlet semakin diberi perhatian, komuniti sukan, media dan peminat perlu lebih berempati dan menyokong, bukannya terus menghukum dengan kecaman.

"Apa yang diperlukan bukan stigma, tetapi sokongan," katanya menutup bicara.

Terdahulu, Majoriti melaporkan, Zii Jia mencetuskan tanda tanya dalam kalangan masyarakat apabila memuat naik beberapa lakaran gambar di laman Instagram miliknya pada Khamis.

Hantaran berkenaan yang mencatat lebih 75,000 tanda suka setakat ini mencetuskan spekulasi termasuk dakwaan pemain perseorangan profesional negara itu mungkin sedang berdepan masalah kemurungan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram