MCKK Premier 7s: Tuan rumah, SMK Hosba antara pasukan raih kemenangan bergaya aksi hari pertama


  • Podium
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Pertandingan yang berlangsung di MCKK itu mengumpulkan sebanyak 24 sekolah dari seluruh negara.

KEJOHANAN Ragbi MCKK Premier 7’s edisi ke-13 membuka tirai dengan penuh bergaya apabila beberapa pasukan pilihan tampil garang dalam aksi hari pertama yang berlangsung di padang keramat Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak pada Jumaat.

SMK Hosba dari Jitra, Kedah mencuri tumpuan apabila membelasah MRSM Balik Pulau menerusi keputusan 34-5 dalam aksi pembukaan, menandakan hasrat mereka untuk menjadi pencabar serius Piala NJ Ryan musim ini. 

Tuan rumah, MCKK juga tidak mengecewakan penyokong sendiri apabila menumpaskan INTEK Kuantan 31-0 dalam aksi dominan dari wisel permulaan hingga tamat.

BACA LAGI: 'Semua berpotensi juara', MCKK Premier 7s kumpul 24 pasukan, standard edisi ke-13 semakin tinggi

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Setiap kesilapan merugikan’, coach MCKK akui saingan SSR 2025 makin mencabar

MCKK (putih) menampilkan aksi dominan untuk meraih kemenangan ke atas INTEK Kuantan.

Turut menampilkan aksi meyakinkan ialah SMK Tun Hussein Onn dari Kluang, Johor yang mempamerkan kekuatan fizikal dan penyudah tajam untuk membenam SMK Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) 45-5.

Keputusan tersebut menjadikan mereka antara pasukan yang perlu diberi perhatian menjelang aksi hari kedua.

Pasukan bersejarah King Edward VII turut bermula cemerlang apabila menang tipis 17-10 ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin (SEMSIRA).

Sementara itu, Maktab Sultan Abu Bakar atau English College (EC) dari Johor Bahru berjaya mengatasi cabaran sengit daripada STAR Ipoh dengan kemenangan 17-7.

Pertembungan paling dramatik menyaksikan (Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor) SEMASHUR dan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas terikat seri 17-17 — satu keputusan yang membuktikan betapa kompetitifnya kejohanan edisi kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram