Endrick Dos Santos kurang menyerlah di Vietnam, tak mustahil Sabah FC, kelab Lembah Klang destinasi transit


  • Podium
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Endrick pernah memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad Harimau Selatan di pentas domestik dan Asia. — Agensi

PEMAIN tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Endrick Dos Santos sah meninggalkan Ho Chi Minh City FC selepas hanya semusim bersama kelab Vietnam itu menerusi pinjaman dan kini dikhabarkan bakal kembali mewarnai Liga Malaysia.

Memetik laporan media Vietnam VOV, pemain kelahiran Brazil itu antara empat pemain yang dilepaskan oleh Ho Chi Minh City selepas musim kurang memberangsangkan yang menyaksikan pasukan itu hanya menamatkan saingan di tangga ke-10 Liga V-League 2024/2025.

Tiga lagi pemain yang turut digugurkan ialah seorang lagi pemain import, Joao Pedro serta dua pemain tempatan, Nguyen Minh Trung dan Nguyen Thanh Thao.

BACA LAGI : Omid Musawi sarung jersi The Red Giants, dapat 'pembakar semangat' pemain warisan

BACA LAGI : 'Boleh lawan JDT ke?', diam-diam buat kerja, KL City sambar Manuel Hidalgo

Sepanjang bersama Ho Chi Minh City FC, Endrick gagal menyerlah apabila hanya menjaringkan dua gol walaupun berperanan sebagai antara tonggak utama di bahagian serangan.

Persembahan hambarnya itu menjadi antara faktor utama pengurusan kelab memutuskan untuk menamatkan khidmatnya.

Endrick Dos Santos sah meninggalkan Ho Chi Minh City FC selepas hanya semusim bersama kelab Vietnam. — Agensi

Pemergiannya membuka laluan kepada kembali ke JDT selepas melengkapkan tempoh pinjaman.

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat oleh JDT berhubung pemain tersebut meskipun dikhabarkan tiada lagi dalam perancangan kelab itu musim depan.

Endrick sebelum ini pernah memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad Harimau Selatan di pentas domestik dan Asia.

Dalam masa sama, desas-desus turut menyebut Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC sebagai destinasi berpotensi untuk Endrick kembali mewarnai saingan Liga Malaysia musim ini.

Skuad Sang Badak, yang kini dalam fasa pembinaan semula skuad selepas bergelut dengan konsistensi di bahagian tengah, dilihat amat memerlukan pemain berpengalaman seperti Endrick bagi memperkukuh kawalan permainan serta menjana serangan daripada kawasan tengah.

Sementara itu, skuad Warga Kota juga dilaporkan sedang mencari pemain yang mampu menjadi penghubung antara bahagian tengah dan serangan setelah beberapa pemain utama dilanda kecederaan serta kebergantungan kepada pemain muda masih belum menampakkan kestabilan.

Berpengalaman luas di pentas tempatan dan Asia serta keupayaan beraksi sebagai pemain tengah bertahan atau menyerang, Endrick dilihat sebagai aset penting yang mampu memberikan impak segera.

Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat oleh mana-mana pasukan setakat ini, kemunculan nama Endrick dalam radar pasukan Liga Super memberi bayangan menarik menjelang jendela perpindahan pertengahan musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram