
HASRAT Kuala Lumpur City FC untuk memperkuatkan jentera serangan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia depan ini akhirnya tercapai apabila pemain sayap lincah, Safawi Rasid, sah menyertai skuad The City Boys secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Perpindahan secara rasmi itu diumumkan pada Rabu, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan pemain kebangsaan itu.
Safawi, 28, yang pernah mencipta nama bersama skuad Harimau Malaya menerusi kelincahan dan ketajamannya di sayap kanan, dijangka menjadi watak penting dalam merencanakan serangan KL City, khususnya dalam usaha mereka memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super 2025.
BACA LAGI : Dollah Salleh kunci mulut, Zainal harap 'jodoh' bersama Imigresen FC berpanjangan
Manuel Ott tidak tersenarai dalam perancangan skuad Penyu untuk musim 2025.
Menariknya, Safawi bukan satu-satunya bekas pemain Terengganu FC yang dikaitkan dengan The City Boys, apabila nama Manuel Ott turut disebut bakal menyertai pasukan ibu kota itu.
Kedua-dua pemain tersebut pernah bergandingan bersama skuad Sang Penyu pada musim lalu, namun tidak tersenarai dalam perancangan skuad Penyu untuk musim 2025.
Sekiranya menjadi kenyataan, Safawi dijangka menjadi nadi penting dalam jentera serangan KL City dengan kepantasannya di sayap kanan, manakala Manuel pula berperanan memperkukuh bahagian tengah dengan pengalaman luasnya dalam Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram