
PEMAIN import sering menjadi taruhan utama pasukan Liga Super dalam usaha memburu kejayaan. Namun, tidak semua membawa impak positif malah ada yang sekadar menjadi liabiliti sehingga menyebabkan kerugian besar dari sudut kewangan dan prestasi.
Antara yang pernah mencetuskan kekecewaan ialah tiga nama besar ini Mohammed Ghaddar, Paulo Rangel dan Caion yang hadir dengan reputasi tinggi tetapi gagal menepati harapan penyokong dan kelab.
Mohammed Ghaddar (Kelantan FA & JDT, 2017–2018)
Ghaddar merupakan antara pemain yang memberi sumbangan besar kepada Kelantan FA. — Agensi
Penyerang Lebanon ini mencetuskan sensasi apabila meledak 18 gol dalam 11 perlawanan pertama musim 2017 bersama Kelantan FA.
Aksi luar biasa itu menarik perhatian Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mendapatkan khidmatnya pada pertengahan musim dengan nilai perpindahan yang dianggarkan mencecah RM2 juta.
Bagaimanapun, sebaik menyertai JDT, prestasi Ghaddar terus menjunam. Gaya permainan pasukan yang lebih teknikal dan tersusun dilihat tidak sesuai dengan coraknya yang bergantung kepada gerakan bebas dan hantaran panjang.
Ghaddar hanya berjaya menjaringkan lima gol sepanjang tempohnya bersama JDT.
Lebih malang, Ghaddar sering diketepikan daripada kesebelasan utama dan tidak mampu menyesuaikan diri dengan sistem kendalian jurulatih Benjamin Mora ketika itu.
Akibatnya, pemain berketinggian 181 sentimeter dipinjamkan semula ke Kelantan dan akhirnya dilepaskan daripada kontraknya.
Namun begitu, tidak dinafikan Ghaddar merupakan antara pemain yang memberi sumbangan besar kepada Kelantan FA.
Paulo Rangel (Selangor & Terengganu FC, 2014–2015)
Paulo dikenang bukan sahaja kerana ketajamannya, tetapi juga kerana sikap panas baran yang mencetuskan kekecohan dalam pasukan. — Gambar/Media Sosial
Paulo Rangel pernah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak dengan 16 gol pada musim 2014 ketika bersama Selangor FC.
Namun, permulaan yang cemerlang bertukar suram selepas dia berhijrah ke Terengganu FC.
Ketika bersama Terengganu, prestasi Rangel merosot dan lebih terpalit dengan isu disiplin, termasuk insiden menolak pengadil dalam aksi separuh akhir Piala FA 2015.
Akibat tindakan itu, Paulo digantung dan menyebabkan Terengganu kehilangan tonggak penting ketika kempen liga masih berlangsung.
Kontraknya akhirnya ditamatkan lebih awal, menyaksikan pasukan menanggung kerugian besar dari aspek kewangan dan prestasi.
Paulo dikenang bukan sahaja kerana ketajamannya, tetapi juga kerana sikap panas baran yang mencetuskan kekecohan dalam pasukan.
Caion (Selangor & KL City, 2022 & 2023)
Caion merupakan penyerang import dari Brazil tidak dikekalkan di skuad the Red Giants selepas satu musim. — Gambar/SelangorFC
Selepas mengharungi satu musim cemerlang buat Selangor FC, Herlison Caion de Sousa Ferreira merupakan penyerang import dari Brazil tidak dikekalkan di kelab Lembah Klang tersebut yang mencari peledak baharu.
Pemain yang lebih dikenali dengan nama Caion itu memberi sumbangan penting buat skuad Gergasi Merah, termasuk membawa mereka ke pentas akhir Piala Malaysia 2022 sebelum dikecewakan JDT dalam aksi terbabit.
Menyedari khidmatnya buat Selangor FC tidak didendang, Caion kemudian mengambil keputusan menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC yang merupakan seteru utama buat kelab lamanya itu.
Bagaimanapun, keputusan berpindah ke ibu kota gagal memberi impak positif apabila penyerang tinggi lampai tersebut hanya menjaringkan satu gol dan empat bantuan jaringan.
Sumbangan mengecewakan itu menyaksikan Caion memilih untuk meninggalkan skuad Warga Kota pada pertengahan musim dan berkelana ke Vietnam sebelum akhirnya memilih untuk pulang ke negara kelahirannya pada November tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram