
KETIKA peminat bola sepak tempatan menanti perkembangan rasmi menjelang kemunculan sulung Imigresen FC dalam saingan Liga Super musim depan, struktur dalaman kelab itu masih belum dimuktamadkan.
Walaupun pasukan tersebut telah pun memperoleh lesen kebangsaan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), persoalan mengenai barisan kejurulatihan terus menjadi tanda tanya, apatah lagi dengan pelbagai khabar angin yang kini bertiup kencang.
Terbaharu, timbul ura-ura bahawa ketua jurulatih sedia ada, Mat Zan Mat Aris mungkin digugurkan bagi memberi laluan kepada wajah baharu dalam struktur kejurulatihan.
BACA LAGI : Bekas 'kereta kebal' kelab Lembah Klang kini dalam radar skuad Jang
BACA LAGI : Aidil Sharin disebut pulang ke Singapura, Fandi Ahmad-Akmal Rizal antara 3 pengganti sesuai di Kuching City
Menurut sumber yang dikongsikan kepada Majoriti, terdapat kemungkinan besar Imigresen FC akan melantik Pengarah Teknikal mereka, Datuk Zainal Abidin Hassan sebagai ketua jurulatih pasukan.
Spekulasi tersebut turut dipanaskan lagi dengan dakwaan bahawa seorang lagi tokoh bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh, bakal menyertai pasukan itu dengan peranan yang masih belum diumumkan secara rasmi.
Imigresen FC bakal membuat kemunculan sulung dalam saingan Liga Super musim depan. — Facebook Imigresen FC
Sekiranya senario ini menjadi kenyataan, ia pastinya bakal mencetuskan persoalan besar memandangkan Dollah Salleh kini masih memegang jawatan penting di bawah payung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Naib Presiden, sementara Zainal Abidin juga bertindak sebagai Exco pada Kongres pemilihan badan induk itu yang ke-61 Februari lepas.
Tindakan melibatkan individu yang aktif dalam struktur FAM dalam sebuah kelab Liga Super berisiko menimbulkan konflik kepentingan dan bercanggah dengan prinsip tadbir urus sukan yang telus dan profesional.
Namun, ketika ditanya Zainal Abidin berhubung perkara itu, dia enggan mengulas lebih lanjut sambil berharap pihak media bersabar sehingga pengumuman rasmi diumumkan oleh pihak Imigresen sendiri.
Dengan nada berseloroh, dia meminta semua pihak mendoakan agar jodohnya dengan kelab tersebut panjang.
"Saya sudah tiga tahun berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal, kalau ada rezeki dengan Imigresen adalah.
"Doakan 'jodoh' saya berpanjangan, kalau nak komen lanjut saya tak nak ulas. Kita tunggu dan saya hormati apa-apa keputusan Imigresen," katanya kepada Majoriti.
Mat Zan (tengah) difahamkan tidak akan lagi membimbing Imigresen FC yang layak ke saingan Liga Super musim depan. — Facebook/Imigresen FC
Dalam pada itu, Dollah ketika dihubungi juga enggan mendedahkan butiran mengenai tawaran ke kelab itu.
"Setakat ini tiada hitam putih lagi, kalau ada tawaran saya akan teliti terlebih dahulu," katanya ringkas.
Setakat ini, pihak pengurusan Imigresen FC masih berdiam diri dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab spekulasi yang semakin hangat diperkatakan dalam kalangan pemerhati serta penyokong tempatan.
Imigresen FC yang dijangka bakal mencorak wajah baharu Liga Super musim 2025, kini menjadi tumpuan bukan sahaja kerana penyertaan sulung mereka, tetapi juga kerana strategi pengurusan serta pemilihan tokoh besar dalam pembentukan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram