Rekrut baharu Selangor guna ejen sama, bimbang 'flop' seperti Ronnie Fernandez


  • Podium
  • Rabu, 02 Jul 2025

Moraes diumumkan sebagai tonggak serangan baharu mereka bagi menghadapi musim 2025-2026 pada Isnin. — Facebook/SelangorFC

SELANGOR FC terus memperkukuh jentera serangan mereka apabila mengumumkan kehadiran penyerang kelahiran Brazil, Chrigor Moraes sebagai pemain import baharu menjelang saingan musim 2025-2026.

Perkara itu dimaklumkan pada Isnin, sekali gus menjadikan Moraes sebagai pemain import kedua terkini Gergasi Merah dalam persiapan menghadapi tiga kejohanan utama, Liga Malaysia (Liga M), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), dan Kejuaraan Kelab Asean.

Pemain berusia 25 tahun berkenaan memulakan kerjaya profesionalnya di negara kelahirannya, bersama Brasil de Pelotas dengan dua penampilan dalam saingan Serie B Brazil pada musim 2018. 

BACA LAGI: 'Flop' bersama kelab baharu, 3 ex import Liga Super termasuk peledak JDT-Selangor bagaikan terkena 'sumpahan'

BACA LAGI: Tak jadi ke Iskandar Puteri, CM Sepanyol berstatus ejen bebas jadi rebutan Selangor-N9-Sabah

Bakat pemain itu terus menyerlah selepas menyertai Red Bull Brasil sebelum diserap ke skuad utama Red Bull Bragantino apabila berjaya menjaringkan dua gol dalam sembilan perlawanan Serie A.

Bagi memperkasa gaya permainan dan pengalamannya, penyerang berketinggian 1.83 meter itu kemudiannya dipinjamkan ke beberapa kelab termasuk America Mineiro, Novorizontino, Ituano, dan Inter de Limeira.

Tahun 2023 menyaksikan prestasi terbaik Moraes apabila dia menyarung jersi Portuguesa dalam saingan Copa Paulista dan berjaya meledak tujuh gol dalam 12 perlawanan. Ia satu pencapaian yang membuka peluang buatnya untuk mencuba nasib di luar Brazil.

Seterusnya, Moraes menyertai kelab gergasi Thailand, Buriram United FC pada pertengahan musim 2024. Di sana, Moraes tampil cemerlang dengan tujuh jaringan dalam 14 penampilan, termasuk aksi dalam Liga Thai, ACL Elite, dan Kejuaraan Kelab Asean. 

Bagaimanapun, pemilihan Moraes mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong Gergasi Merah yang gusar pemain import dari Brazil itu bakal mengulangi kegagalan penyerang musim lalu, Ronnie Fernandez.

Kerisauan penyokong bertambah apabila diketahui bahawa Moraes diuruskan oleh ejen yang sama dengan Ronnie yang gagal menepati jangkaan ketika bersama Selangor musim lalu walaupun hadir dengan reputasi besar dari Chile.

Moraes (kanan) bersama ejen mewakilinya.

“Tak nak ulang kesilapan sama macam Ronnie. Ejen sama, risau gaya pemilihan pun lebih kurang. Risau Chrigor ni pun sekadar nama tanpa impak sebenar di padang," antara komen penyokong. 

Untuk info, ejen untuk Ronnie dan Moraes ialah Ali Aldae'efy. Ejen berkenaan cukup terkenal membawa import ke saingan domestik. Tidak semua di bawah jagaannya tidak cemerlang susulan Alvin Fortes, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi yang sehingga kini masih bersama Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram