Penyerang JDT tiada dalam perancangan NSFC, tak sanggup borong sampai 15 bintang import


  • Podium
  • Selasa, 01 Jul 2025

Skuad Harimau Selatan memiliki lambakan import yang boleh dipinjamkan keluar. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

MESKIPUN mengharungi satu musim yang mengecewakan bagi kempen 2024/25, Negeri Sembilan FC dilihat kian bergerak ke hadapan dengan pelbagai langkah di dalam dan di luar padang sudah diambil.

Selain melakukan rombakan pihak pengurusan, skuad Jang juga sudah membuat perubahan terhadap pasukan dengan memperkenalkan wajah-wajah baharu bagi saingan 2025/26.

Rekrut paling menarik yang disaksikan setakat ini pastinya apabila skuad kendalian Nidzam Jamil itu mengalu-alukan kehadiran Luqman Hakim Shamsudin yang kira-kira lima tahun berkelana di luar negara.

BACA LAGI: NSFC, pasukan Lembah Klang dipilih aksi pemanas badan kelab elit Indonesia

BACA LAGI: Bekas 'kereta kebal' kelab Lembah Klang kini dalam radar skuad Jang

Obregon dilaporkan akan menyertai Negeri Sembilan FC dari skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Beberapa pemain baharu lain turut diperkenalkan dengan masing-masing sudah tentu diharapkan mampu memperbaiki pasukan yang hanya berada di tangga ke-12 Liga Super 2024/25.

Namun, timbul pula khabar angin baharu apabila dikatakan Negeri Sembilan FC akan mendapatkan khidmat penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Jorge Obregon secara pinjaman.

Meskipun kualitinya kerap diperkecilkan, import dari Colombia itu sudah tentu mampu menaikkan mutu barisan hadapan skuad Jang yang belum memiliki peledak import ketika ini.

Bagaimanapun, belum sempat ura-ura itu bertebaran luas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus sudah tampil menepis gosip perpindahan tersebut bagi mengelak kekeliruan.

"Dia (Obregon) adalah pemain yang sangat bagus. Kami menghormati kualiti yang dimiliki dan tidak menolak kemungkinan dia adalah penyerang berbisa. Akan tetapi, dia tidak berada dalam perancangan kami," katanya kepada Stadium Astro.

Faliq tampil menepis khabar angin yang kini bertebaran di media sosial berhubung penyerang tersebut.

Musim lalu, Obregon dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua liga untuk memberi saingan kepada Bergson da Silva dalam kesebelasan utama dengan JDT sanggup melaburkan €500,000 (RM2.33 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, daripada 22 penampilan dalam semua pertandingan, penyerang berusia 28 tahun itu hanya merekodkan tujuh gol dan dua bantuan jaringan yang menceritakan kesukarannya menyesuaikan diri.

Pulangan kurang memberangsangkan itu menyaksikan kelab Selatan tanah air berkenaan bersedia melepaskan penyerang tersebut ke mana-mana kelab berminat dengan dia kini berstatus ejen bebas.

Tetapi, permintaan gaji tinggi daripada import tersebut sudah tentu membuatkan Negeri Sembilan FC memilih untuk tidak menandatanganinya dengan Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap pengerusi kelab, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan pihaknya akan bertindak secara berhemah.

"Kita tak sanggup nak beli sampai 15 orang yang dibenarkan itu. Kita akan menggunakan pemain import dan senior tetapi saya yakin dengan kehadiran ramai pemain baharu akan memberi nafas (galakan) kepada pemain muda kita," katanya.

Setakat ini, Takumi Sasaki yang merupakan penyerang sayap import sejak musim lalu hanya satu-satunya bintang luar negara berada dalam Negeri Sembilan FC dengan jumlah tersebut pasti akan meningkat dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram