Bagaikan ‘deja vu’, Aidil Sharin saling tak tumpah seperti 3 coach termasuk Nafuzi Zain jika tinggalkan kelab lepas musim sukses


  • Podium
  • Khamis, 26 Jun 2025

Aidil Sharin Sahak kini menjadi tumpuan apabila dikaitkan dengan kemungkinan besar meninggalkan skuad The Cats. — Gambar/ Kuching City FC

NAMA Aidil Sharin Sahak kini menjadi tumpuan apabila dikaitkan dengan kemungkinan besar meninggalkan Kuching City selepas membawa pasukan itu mencatatkan pencapaian terbaik mereka dalam saingan Liga Malaysia. 

Spekulasi bertiup kencang apabila jurulatih kelahiran Singapura itu disebut-sebut sebagai calon utama mengisi kerusi panas jurulatih pasukan kebangsaan The Lions yang kini dalam proses penyusunan semula.

Jika benar Aidil berangkat meninggalkan skuad The Cats selepas musim cemerlang, dia bakal menyertai senarai jurulatih yang pernah membuat keputusan sama,  meninggalkan kelab selepas membawa prestasi mengagumkan. 

BACA LAGI : Masih ada kekosongan, 3 lagi bintang import termasuk Park Tae-su boleh jadi sasaran Kuching City

BACA LAGI : Aidil Sharin disebut pulang ke Singapura, Fandi Ahmad-Akmal Rizal antara 3 pengganti sesuai di Kuching City

Kejadian seperti itu bukan asing dalam Liga Malaysia, malah sudah menjadi semacam 'corak berulang' yang turut pernah dilalui tiga nama besar dalam kancah kejurulatihan tempatan.

Berikut tiga jurulatih yang pernah mencuri perhatian apabila meninggalkan kelab masing-masing selepas musim penuh kejayaan:

1. Nafuzi Zain – Terengganu FC

Keputusan Nafuzi untuk tidak menyambung kontrak bersama TFC mengejutkan ramai penyokong. — Gambar/TerengganuFC

Nafuzi Zain merupakan figura yang membina identitinya sendiri bersama Terengganu FC. Di bawah bimbingannya, skuad Penyu bukan sahaja menampilkan corak permainan menyerang yang tersusun, malah kerap mencatatkan keputusan memgejutkan.

Bukan itu sahaja, Nafuzi juga dianggap orang penting selepas berjaya membawa pasukan tersebut muncul finalis Piala FA 2022 sebelum menamatkan kempen Liga Super pada musim sama di tempat kedua yang sekali gus meraih slot Piala AFC pada tahun berikutnya.

Namun, keputusan Nafuzi untuk tidak menyambung kontrak bersama TFC mengejutkan ramai penyokong.

Ramai menyangka dia akan terus membina dinasti di Pantai Timur, namun beliau memilih cabaran baharu apabila menerima tawaran untuk mengemudi Kedah Darul Aman FC (KDA) FC pada musim berikutnya.

2. Tan Cheng Hoe – Selangor FC

Cheng Hoe merupakan watak utama dalam membantu Selangor FC menjadi naib juat Liga Super 2023. — Gambar/SelangorFC

Bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe tampil sebagai watak penting dalam kebangkitan semula Selangor FC. 

Di bawah kendaliannya, pasukan Merah Kuning mara ke final Piala Malaysia 2022 dan memperbaiki pencapaian liga dengan meletakkan Selangor kembali ke kelompok teratas Liga Super.

Malah, dia merupakan watak utama dalam membantu Selangor FC menjadi naib juat Liga Super 2023, sekali gus memastikan kelab Lembah Klang itu layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024/2025.

Namun, selepas kejayaan itu, Cheng Hoe membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak, sekali gus mengejutkan penyokong dan pengurusan kelab pada Februri tahun lalu.

Ramai menyifatkan langkah tersebut sebagai langkah berani memandangkan projek pembangunan pasukan Selangor ketika itu dilihat stabil dan menjanjikan masa depan cerah.

Kini, Tan Cheng Hoe membawa haluan yang lebih besar menggalas tugas sebagai Pengarah Teknikal Harimau Malaya

3. Datuk Ong Kim Swee – Sabah FC

Kim Swee mencatat perjalanan tersendiri di Sabah FC apabila berjaya menjadikan pasukan itu antara pencabar konsisten di Liga Super. — Gambar/SabahFC

Bekas ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee (OKS), meninggalkan pasukan itu selepas hampir tiga musim menabur bakti di Negeri Di Bawah Bayu yang pada awal kehadirannya bukanlah pasukan digeruni.

Dia yang juga pernah bergelar pengendali Harimau Muda itu memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya bersama Sang Badak tatkala sudah tamat November 2024.

Sepanjang kariernya bersama skuad The Rhinos, Kim Swee mencatat perjalanan tersendiri di Sabah FC apabila berjaya menjadikan pasukan itu antara pencabar konsisten di Liga Super. 

Di bawah kendaliannya, Sabah menunjukkan peningkatan ketara dari segi disiplin taktikal dan struktur organisasi dalam padang, meskipun tidak menamatkan musim dengan trofi.

Bukan itu sahaja, di bawah kendaliannya, Sabah FC merupakan antara pasukan tiga teratas Liga Super selain layak ke kejohanan Piala AFC tahun 2023.

Selepas meninggalkan Sabah FC, Kim Swee dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab Liga 1 Indonesia, Persis Solo pada 25 November 2024.

Terkini, Kim Swee dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab Persik Kediri selepas meninggalkan Persis Solo. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram